
KEMPEN 2025/2026 belum bermula, sudah banyak cerita kurang senang didengari dalam kalangan komuiti bola sepak dan yang paling sedih apabila pasukan bersejarah seperti Sri Pahang memutuskan untuk tarik diri daripada saingan Liga Malaysia (Liga M).
Perkara berkenaan disahkan oleh pengelola bola sepak domestik, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang mengesahkan bahawa skuad Tok Gajah sudah menyerahkan surat pengesahan menarik diri pada 16 Jun lalu.
Ia satu berita mengejutkan buat penyokong bola sepak khususnya pengikut Sri Pahang apabila sebelumnya, pasukan Pantai Timur berkenaan sudah memperoleh Lesen Kebangsaan daripada badan bebas First Instance Body (FIB).
BACA LAGI: 'Biarlah gajah tidur sebentar', keputusan Sri Pahang berehat mula direstui
BACA LAGI: Baqiuddin Shamsudin sah sarung jersi TFC, alangkah baiknya sepupu dari Sri Pahang ikut sama
Keputusan itu dibuat berikutan pengunduran pemilik Sri Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah. Pihak kelab juga menjelaskan langkah itu diambil bagi memberi peluang pihak pengurusan memberi tumpuan kepada fokus baharu.
Melihat Sri Pahang masih tidak mempunyai pemilik sehingga kini, nama Presiden Pahang Rangers, Tengku Arif Temenggong Pahang Tengku Fahad Mua’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dipetik sebagai individu sesuai untuk mengembalikan Pahang.
Tengku Fahad, 31, bukan nama asing berikutan baginda membentuk Pahang Rangers menjadi sebuah pasukan yang cukup digeruni dalam saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) bagi beberapa tahun kebelakangan ini.
Kenyataan dikeluarkan berhubung pengunduran skuad Tok Gajah dari arena bola sepak tempatan. — Facebook/Sri Pahang FC
Walaupun sesetengah penyokong berharap Tengku Fahad mengambil takuk kepimpinan skuad Tok Gajah, baginda bagaimanapun mahu memberikan fokus sepenuhnya kepada kelab futsalnya iaitu Pahang Rangers.
"Saya rasa tidak untuk saya (Sri Pahang), saya akan berfokus pada Futsal dan mengembangkan kelab futsal saya, Pahang Rangers. Kami mempunyai semasa yang baik. Kami menghuni tempat ketiga (MPFL Divisyen 1 2025).
"Kami boleh melakukan lebih baik. Kami mempunyai Malaysia Futsal Cup yang akan muncul. Jadi, harap-harap kami dapat berlawan dengan baik," katanya yang tidak sabar menunggu sepak mula Piala Futsal Malaysia 2025 pada hujung minggu ini.
Untuk info, Pahang Rangers bersama lima pasukan terbaik dalam saingan MPFL Divisyen 1 iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT), Selangor, Pahang Rangers, Sabah, Kuala Lumpur City dan TOT United akan bersama USMKK dan Terengganu dari Divisyen 2 bagi merebut gelaran juara.
Presiden Pahang Rangers, Tengku Arif Temenggong Pahang Tengku Fahad Mua’adzam Shah (tengah).
Ketika ditanya sama ada Pahang Rangers dalam misi merampas semula trofi Piala Futsal Malaysia daripada JDT, Tengku Fahad akui ia sesuatu tugas yang sukar susulan prestasi konsisten ditunjukkan juara MPFL 2025 itu.
"Ia akan sangat sukar. JDT adalah pasukan yang luar biasa. Mereka mempunyai banyak pemain terbaik. Mereka adalah pemenang tahun ini dan tahun lepas. Tetapi, kami akan cuba yang terbaik. Jadi, anda tidak akan tahu, kita lihat nanti bagaimana," jelasnya.
Kali terakhir Pahang Rangers mengangkat trofi Piala Futsal Malaysia pada 2023 selepas menewaskan JDT menerusi penentuan sepakan penalti 3-1. Kempen musim lepas pula menyaksikan Harimau Selatan muncul juara selepas menewaskan Selangor 3-2.
Dalam pada itu, Tengku Fahad juga memaklumkan sedang mempersiapkan negeri Pahang sebagai tuan rumah untuk pusingan kelayakan AFC Futsal Asian Cup yang akan diadakan pada September nanti.
"Kami akan lebih terlibat dalam pasukan nasional. Jadi, kami akan jadi host untuk kelayakan AFC sebelum kejohanan AFC Indonesia akan muncul pada tahun depan. Saya rasa untuk kali pertama ia diadakan di Pahang.
"Ia akan berlaku di Malaysia, Indonesia, UAE dan Bangladesh. Jadi, kami akan lebih terlibat dalam pasukan nasional. Kami akan lebih terlibat dalam futsal dan mengembangkan pasukan nasional juga," ujarnya.
Untuk info, Tengku Fahad berjaya mengubah pasukan tersebut dari sebuah kelab futsal biasa yang dikenali nama Kuantan Rangers FC menjadi gergasi futsal negara.
Situasi itu membuka mata ramai pihak serta berjaya menarik minat pemain berkualiti dari luar negara untuk turut beraksi bersama pasukan tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram