
BERMULA Selasa lalu, Selangor FC sibuk mengumumkan senarai pemain yang akan kekal bagi kempen baharu selepas sebelum ini menyenaraikan bintang yang mengangkat kaki.
Antara yang disahkan akan terus berjuang buat skuad Gergasi Merah ialah pemain sayap utama, Alvin Fortes dan beberapa pertahanan muda seperti Sharul Nazeem Zulpakar dan Zikri Khalili.
Bagaimanapun, di sebalik senarai dikeluarkan, ramai berteka-teki mengenai nasib bek tengah muda, Harith Haiqal yang dilaporkan bakal menyertai kelab baharu bagi kempen akan datang.
BACA LAGI: 'Hidup mati Selangor', Harith Haiqal sedia warisi lilitan kapten Gergasi Merah
BACA LAGI: [VIDEO] 'Hanya di padang latihan', Safuwan usik Harith Haiqal lepas gagalkan percubaan di SNBJ
Tindakan Harith memadam fotonya bersama skuad Gergasi Merah menimbulkan pelbagai khabar angin.
Khabar angin itu timbul selepas pemain berusia 22 tahun berkenaan bertindak memadam gambar di Instagram peribadinya yang berkaitan Selangor FC dengan hanya dua hantaran dikekalkan.
Spekulasi kemudian mula bertebaran dalam kalangan penyokong Merah Kuning dengan masing-masing beranggapan pertahanan tengah terbabit akan berhijrah ke Johor Darul Ta'zim (JDT) atau mana-mana pasukan di luar negara.
Namun, teka-teki berhubung masa depan Harith Haiqal bersama skuad Gergasi Merah akhirnya terjawab selepas kelab Lembah Klang itu mengumumkan pemain tersebut akan terus menabur bakti.
"Dinobatkan pemain muda terbaik oleh penyokong serta mendapat panggilan kebangsaan mewakili Harimau Malaya dalam Kelayakan Piala Asia AFC 2027 baru-baru ini, dia bersedia meneruskan perjuangan bersama skuad Merah Kuning bagi musim akan datang," tulisnya.
Musim lalu, Harith pernah diberi kepercayaan memakai lilitan tangan kapten sebanyak beberapa kali dengan kepercayaan itu menjadikannya calon mengisi kekosongan bakal ditinggalkan Safuwan Baharudin.
Tenang, lasak dan bijak merupakan antara kunci utama bek muda tersebut yang menjadikannya nadi utama pertahanan Selangor FC meskipun pasukan tersebut memiliki lambakan import lain.
Setakat ini, skuad Gergasi Merah masih belum mengumumkan kehadiran pemain baharu untuk kempen akan datang dengan rata-rata tonggak musim lalu akan terus menabur bakti.
Pihak pengurusan kelab sudah tentu enggan terburu-buru dalam membuat keputusan kerana skuad Gergasi Merah memerlukan pemain terbaik bagi menghadapi kempen baharu di pentas domestik dan Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram