PELBAGAI acara sukan dipertandingkan di peringkat universiti dengan Sukan Institut Pendidikan Tinggi (SUKIPT) merupakan antara temasya yang amat dinanti-nantikan.
Tahun ini, pertandingan tersebut bakal diadakan di Universiti Utara Malaysia (UUM) dekat Sintok, Kedah bermula 6 hingga 13 September dengan hanya beberapa hari berbaki untuk melakukan persiapan.
Jadi, sasaran sudah pasti diletakkan setiap kontinjen yang akan menghantar atlet demi menaikkan lagi nama institusi masing-masing dalam kalangan universiti tempatan.
BACA LAGI: [VIDEO] Motivasi, kesungguhan coach Khor buat skuad bola keranjang UM semangat hadapi MASUM
BACA LAGI: 'Kami tidak sangka terpilih menangi anugerah Masum'
UPSI meraih beberapa pingat dari karnival SUKIPT dalam acara olahraga. — Facebook/Unit Fotografi Korporat UPSI
Perkara itu turut diakui jurulatih pasukan olahraga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Izzat Narozi yang menyatakan mereka sudah meletakkan cita-cita tersendiri pada SUKIPT kali ini.
"Untuk sukan olahraga, pihak Pusat Sukan UPSI sudah meletakkan sasaran sebanyak lima pingat emas. Tetapi, di peringkat kejurulatihan iaitu antara saya dan tiga jurulatih lain, kami sasarkan enam pingat emas," katanya kepada Majoriti.
Sasaran berkenaan pastinya tidak sukar untuk dicapai memandangkan terdapat lambakan penuntut di universiti berkenaan terpilih untuk mewakili negara masing-masing di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) sebelum ini.
Bagaimanapun, penganjuran SUKIPT yang mengumpulkan atlet dan wakil dari universiti seluruh negara, persiapan terbaik masih diperlukan bagi meraih hasil dimahukan.
Acara olahraga juga menjadi tumpuan bagi pengikut karnival SUKIPT. — Facebook/Universiti Pendidikan Sultan Idris
Saingan turut diakui Izzat yang merupakan pegawai di Fakulti Sains Sukan UPSI dengan dia melihat Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai pesaing terhebat.
"Jika dalam sukan olahraga, seperti dua tahun lalu, kita memang selalu cuba untuk mengejar UPM kerana majoriti daripada mereka adalah atlet kebangsaan.
"Kalau di peringkat olahraga sebelum ini, UPM memang berada di kedudukan teratas dan UPSI di nombor dua," katanya lagi.
Untuk rekod, pada SUKIPT edisi yang lalu, UPM mengungguli carta kutipan pingat dengan 38 emas, 19 perak dan 20 gangsa yang diraih dalam karnival yang diadakan di UPSI itu.
Sementara itu, UPSI sebagai pasukan tuan rumah hanya berada di kedudukan kelapan selepas membawa pulang 49 pingat emas dengan hanya sembilan daripadanya merupakan pingat emas.
Kedudukan itu sudah tentu diharapkan dapat ditambah baik dengan persiapan demi persiapan yang sudah dibuat membuktikan kesungguhan universiti berpusat di Tanjung Malim, Perak tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram