[VIDEO] Tak pernah menyesal sertai JDT, kita perlu 'fight' — Izham Tarmizi


  • Podium
  • Isnin, 21 Jul 2025

Peluang Izham sepanjang 10 musim di Selatan tanah air sememangnya cukup terhad. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

MESKIPUN bukanlah nama besar dalam Johor Darul Ta'zim (JDT), Izham Tarmizi wajar diangkat sebagai legenda pasukan kerana berada di kelab itu dalam tempoh yang agak lama sebelum mereka mendominasi arena bola sepak tempatan.

Dia yang memulakan karier bersama Harimau Muda menyertai kelab Selatan tanah air itu pada 2014 ketika mereka masih dalam fasa awal menjadi pasukan digeruni.

Namun, menyedari misi besar diletakkan pihak pengurusan, penjaga gawang kelahiran Terengganu itu memilih untuk kekal dan hasilnya, dia menjadi antara pemain paling lama berkhidmat buat JDT.

BACA LAGI: Tak jadi rekrut bintang Uzbekistan, Tok Gajah pilih penjaga gol Kedah ganti Izham Tarmizi

BACA LAGI: Izwan Mahbud, bekas teammate bek Selangor jadi pilihan Pahang gantikan Izham

Izham (dua dari kanan) perlu bersaing dengan penjaga gol berkualiti sepanjang bersama skuad Harimau Selatan. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Sepanjang 10 musim bersama pasukan tersebut, Izham merekodkan 43 penampilan tujuh trofi diraihnya, termasuk ketika membantu mereka menjuarai Piala AFC 2015.

Bagaimanapun, meskipun dilimpahi pencapaian gilang-gemilang, pemain berusia 34 tahun tersebut seperti mensia-siakan kariernya kerana secara purata, dia hanya diturunkan empat kali semusim.

Statistik itu sememangnya mengecewakan buat penjaga gol dengan kebolehan sepertinya sehingga penyokong beranggapan peluang lebih kerap boleh diraih sekiranya dia beraksi buat pasukan lain.

Tetapi, Izham tampil menepis pandangan sedemikian dalam satu sesi 'live' di laman Instagram peribadinya baru-baru ini dengan dia beranggapan setiap pemain perlu berjuang demi tempat masing-masing dalam pasukan.

"Ada mengatakan JDT ambil pemain dan kemudian diperam, itu adalah salah kerana awak masuk sini, awak perlu bersaing. Walaupun nama anda besar di luar sehingga berfikiran masuk JDT diberi tempat dalam kesebelasan utama, itu adalah silap.

"Di JDT lah saya banyak belajar. Saya tak pernah terfikir 'Kau tak dapat main, bakat kau disia-siakan'. Kenapa saya perlu fikir saya tidak dapat peluang beraksi kerana itu adalah lumrah bola sepak," katanya.

Perkongsian pemain tersebut sempat dirakam dan dikongsikan di laman TikTok Majestic News 115 yang menceritakan kematangan Izham dalam memahami situasi dialami bersama skuad Harimau Selatan.

Sepanjang bersama JDT, Izham berdepan saingan hebat di posisi no 1 dengan Farizal Marlias, Ahmad Syihan Hazmi serta Haziq Nadzli merupakan antara pencabarnya.

Tetapi, imejnya sebagai antara pemain senior menyaksikan pihak pengurusan mengekalkan khidmatnya selama hampir 11 tahun meskipun pernah dipinjamkan sekali ke Sri Pahang FC pada 2023.

Izham menyertai skuad Tok Gajah secara pinjaman selama semusim pada 2023. Facebook/Sri Pahang FC

"Kalau nak cakap saya menyesal atau salah buat pilihan, itu salah. Contohnya, rezeki saya berada dalam kesebelasan utama adalah setakat ini, banyak itu sahaja kau terima.

"Tetapi, pengalaman diperoleh itu berbeza. Bukan semua tempat dapat beri macam yang anda terima bersama JDT. Saya tak perkecilkan pasukan lain, namun apa tunjuk ajar di sini berbeza," katanya lagi.

Berdasarkan perkongsian dibuat sebelum ini, terdapat kemungkinan Izham tidak akan lagi bersama skuad Harimau Selatan musim depan selepas kehadiran beberapa penjaga gol muda.

Terdapat kemungkinan besar pemain tersebut akan menamatkan kariernya setelah menceburi bidang kejurulatihan selain membuka kelas penjaga gol buat orang ramai yang berminat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram