[VIDEO] Pernah jadi duri dalam daging Terengganu, rekrut Sang Penyu sedia rebut Kasut Emas Liga Super


  • Podium
  • Isnin, 21 Jul 2025

Skuad Sang Penyu sudah bersedia bagi saingan musim baharu selepas berbelanja besar sepanjang jendela perpindahan. — Facebook/Terengganu FC

BAGI mengatasi isu ketumpulan jentera serangan dialami musim lalu, Terengganu FC membuat pelaburan besar pada jendela perpindahan kali ini dengan membawa masuk beberapa pemain di posisi tersebut.

Ini termasuk penyerang kelahiran Cameroon, Junior Ngong Sam yang beraksi di Filipina bersama One Taguig FC musim lalu dengan tujuh gol dan sembilan bantuan direkodkan.

Selain itu, antara sebab lain yang menyaksikan pasukan Pantai Timur tersebut menandatangani pemain berusia 27 itu adalah kerana dia pernah menjadi 'duri dalam daging' terhadap Terengganu FC dalam saingan Piala AFC 2023.

BACA LAGI: ‘Sebelum ini ada kurang membantu’, TFC lebih realistik dengan 6 import saja musim ini

BACA LAGI: Muat naik foto di Masjid Kristal, bek Senegal tawar diri kembali ke pangkuan Sang Penyu?

Junior meletakkan sasaran tinggi bersama skuad Sang Penyu musim ini. Facebook/Terengganu FC

Ketika itu, dia yang bersama Stallion Laguna berdepan skuad Sang Penyu dalam peringkat kumpulan sebanyak dua kali dengan kedua-dua perlawanan berkenaan menyaksikan Junior mencetak gol.

Persembahan memukau tersebut kemudian mendesak pihak pengurusan kelab Liga Super itu untuk mendapatkan khidmatnya bagi kempen akan datang dengan harapan catatan lebih baik dapat disaksikan.

Hasrat itu seperti turut dilaungkan penyerang terbabit yang meletakkan sasaran tinggi bagi musim 2025/26 apabila dia mahu mencabar Anugerah Kasut Emas Liga Super.

"Setakat ini, saya menikmati sesi latihan dan rakan sepasukan membantu saya untuk jadi lebih baik dengan barisan kejurulatihan juga mempunyai perancangan cukup jelas.

"Jadi, saya gembira untuk berada di sini dan teruja menghitung hari sebelum permulaan liga. Sasaran saya adalah untuk menjadi penjaring terbanyak buat pasukan dan Liga Super," katanya kepada pemerhati bola sepak tempatan, Fadhirul Shuhaimi.

Cita-cita diletakkan penyerang import tersebut sememangnya sukar untuk dicapai kerana musim lalu, tonggak Johor Darul Ta'zim (JDT), Bergson da Silva membawa pulang anugerah itu selepas persembahan dominan ditampilkan.

32 jaringan dicatatkan peledak dari Brazil itu jauh meninggalkan pencabar terdekat, Paulo Josue yang bersama Kuala Lumpur (KL) City FC dengan 17 gol direkodkannya.

Jadi, sekiranya Junior mahu memberi cabaran terhadap bintang Harimau Selatan itu, dia perlu berada dalam prestasi terbaik sepanjang musim 2025/26.

Junior Ngong menjaringkan dua gol dalam dua pertemuan menentang Terengganu FC. Agensi

Dalam pada itu, rekrut Terengganu FC berkenaan menyatakan keinginannya untuk beraksi buat skuad Sang Penyu hadir ketika berdepan kelab Liga Super terbabit dua musim lalu.

"Saya menerima tawaran daripada pasukan ini kerana saya amat tertarik untuk beraksi buat Terengganu FC ketika saya menentang kelab ini dalam saingan Piala AFC.

"Saya melihat bagaimana pasukan ini cukup tersusun, penyokong tidak henti beri sokongan dan suasana di stadium cukup baik. Saya cukup kagum dengan keadaan sebegini," katanya.

Junior sudah membuka akaun jaringan bersama skuad Sang Penyu dalam aksi persahabatan menentang UM-Damansara United dengan pulangan sebegitu diharapkan dapat diteruskan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram