
JENDELA perpindahan kali ini menyaksikan rata-rata pasukan bertanding musim depan giat membawa masuk nama baharu bagi memastikan skuad berada dalam keadaan terbaik.
Pasukan atasan seperti Selangor FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT) sememangnya bertuah kerana struktur kewangan kukuh membolehkan pihak pengurusan membawa masuk pemain berkualiti.
Namun, kelab-kelab pertengahan seperti Terengganu FC dan Sabah FC juga tidak kurang hebatnya apabila membawa masuk ramai rekrut baharu yang rata-rata daripadanya berstatus ejen bebas.
BACA LAGI: Posisi Syamer Kutty 'terancam', 3 bintang JDT termasuk Ibrahim Manusi bersaing rebut posisi DMF
BACA LAGI: Berebut posisi, tak mustahil Hector Hevel bikin 3 midfielder JDT 'gigit jari'
Perpindahan sedemikian akan membawa manfaat besar buat pasukan kerana pihak kejurulatihan akan memiliki barisan pemain lebih bervariasi dengan penggiliran lebih kerap dapat dilakukan.
Bagaimanapun, dilema baharu pula timbul apabila kemasukan terlalu ramai pemain dalam satu-satu posisi akan menyaksikan perebutan yang pada akhirnya akan membawa kerunsingan.
Situasi tersebut sudah dialami beberapa pasukan Liga Super ketika ini dengan isu lambakan pilihan perlu diselesaikan supaya setiap pemain dapat menerima minit permainan mencukupi.
Melihat kepada kelab tempatan ketika ini, berikut merupakan tiga pasukan yang mengalami masalah sedemikian di posisi berbeza selepas aktiviti perpindahan dilakukan pada jendela kali ini.
1. Kuching City FC (Penyerang)
Skuad The Cats sememangnya beruntung apabila nafas baharu diterapkan pihak pengurusan menyaksikan imej kelab paling muda Liga Super tersebut mula berubah.
Jadi, dalam usaha memberi saingan lebih baik musim depan, kelab Borneo tanah air itu bertindak membawa masuk ramai rekrut bagi memberi persiapan terbaik buat pengendali, Aidil Sharin Sahak.
Namun, aktiviti dilakukan Kuching City FC kelihatan sedikit janggal kerana mereka membawa masuk tiga penyerang baharu, iaitu Danial Asri, Gabriel Nistelrooy serta yang terbaru, Ronald Ngah Wanja.
Ronald Ngah menjadi penyerang terbaru skuad The Cats.
Perpindahan tersebut menyaksikan pasukan itu memiliki empat peledak selepas turut mengekalkan khidmat penjaring terbanyak, Jordan Mintah.
Ini merupakan keputusan sedikit mengejutkan kerana skuad The Cats yang kerap menggunakan formasi 4-3-3 hanya memerlukan seorang penyerang dalam satu-satu masa.
Tetapi, dengan lambakan pilihan dimiliki, tidak mustahil sekiranya Aidil akan mengubah pendekatan permainan atau meletakkan mana-mana pemain di posisi berbeza.
2. Selangor FC (Pemain tengah)
Selepas menamatkan saingan Liga Super 2024/25 di tangga kedua, Selangor FC terus memperkuatkan pasukan dengan berbelanja besar bagi menarik lebih ramai import bertaraf antarabangsa.
Posisi tengah menjadi antara tumpuan utama kelab Lembah Klang itu selepas mereka mendapatkan khidmat Picha Autra dari Thailand serta menaikkan pangkat dari pasukan simpanan.
Ini merupakan pendekatan menarik diambil pengendali, Katsuhito Kinoshi kerana skuad Gergasi Merah sudah memiliki lambakan pilihan selepas mengekalkan hampir keseluruhan pasukan lalu.
Kepulangan Noor Al-Rawabdeh dari kecederaan memberi lebih banyak pilihan buat skuad Gergasi Merah.
Sekiranya dilihat kepada kesebelasan utama tahun lalu, Selangor FC menurunkan gandingan Nooa Laine, Yohandry Orozco dan Noor Al-Rawabdeh dengan kecederaan pemain Jordan itu menyaksikan Aliff Haiqal beraksi lebih kerap.
Tetapi, meskipun rombakan sudah dilakukan, skuad Gergasi Merah masih memiliki lambakan pemain tengah dengan Mukhairi Ajmal masih boleh diturunkan lebih kerap.
Percaturan untuk membawa masuk Picha dan menyerap pemain muda dari skuad simpanan akan mendesak Kinoshi mencari kestabilan bagi memastikan setiap pemain dapat meraih minit permainan mencukupi.
3. Terengganu FC (Pemain sayap)
Kerugian terbesar dialami Terengganu FC ketika ini adalah apabila mereka gagal mengekalkan khidmat Safawi Rasid yang memilih untuk dipinjamkan ke Kuala Lumpur (KL) City FC.
Namun, meskipun tidak dapat mengerah khidmat pemain Harimau Malaya itu, pasukan Pantai Timur tersebut tidak perlu gusar kerana mereka masih mempunyai lambakan pilihan di posisi sayap menyerang.
Khidmat Akhyar akan terus diperlukan dalam skuad Sang Penyu musim depan. — Facebook/Terengganu FC
Gandingan utama yang dijangka diturunkan Badrul Afzan Razali sudah tentu Akhyar Rashid dan rekrut baharu, Gabriel Silva melihat kepada kualiti masing-masing.
Tetapi, sekiranya diperlukan, Terengganu FC memiliki pilihan lain seperti Engku Nur Shakir, Nik Sharif Haseefy serta Syahmi Zamri yang semuanya memiliki pengalaman dalam Liga Super.
Pemain lain dalam posisi serangan juga boleh beraksi di posisi sayap seperti Chukwu Chijioke, Yann Mabella dan Careca kerana kepantasan masing-masing merupakan aset bernilai. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram