Muat naik foto di Masjid Kristal, bek Senegal tawar diri kembali ke pangkuan Sang Penyu?


  • Podium
  • Ahad, 13 Jul 2025

Skuad Sang Penyu masih memerlukan bek tengah import bagi memperkukuhkan barisan pertahanan. — Facebook/Terengganu FC

SEPANJANG jendela perpindahan ini, Terengganu FC sudah memperkuatkan pasukan dengan membawa masuk beberapa nama baharu bagi memberi saingan dalam Liga Super 2025/26.

Dua pemain tempatan diperkenalkan terlebih dahulu, iaitu Baqiuddin Shamsudin dan Saiful Jamaludin yang kedua-duanya menyertai skuad Sang Penyu selepas pembubaran Sri Pahang FC.

Tidak terhenti di situ, kelab Pantai Timur itu turut mengalu-alukan kehadiran pemain baharu iaitu Junior Ngong Sam, Yann Mabella, Gabriel Silva dan Careca yang akan mengisi kuota import.

BACA LAGI: Tiga import, termasuk 'tulang belakang' Kedah berpotensi gantikan Diakite di Terengganu

BACA LAGI: 'Diakite ditengking Hai-O', jurulatih TFC perjelas insiden kekecohan Sang Penyu-KL City

Diakite menghabiskan tempoh semusim yang cukup baik bersama skuad Sang Penyu. Facebook/Terengganu FC

Bagaimanapun, melihat kepada strategi rekrut dilakukan Terengganu FC, masih terdapat kekurangan dapat disaksikan dalam pasukan kerana mereka belum membawa masuk bek tengah baharu.

Posisi tersebut pasti akan diisi Safwan Mazlan dan Shahrul Nizam Ros Hasni yang kedua-duanya cemerlang musim lalu sementara Ubaidullah Shamsul Fazili juga kadang-kala diturunkan sebagai pemain pertahanan tengah.

Namun, sekiranya ditanya penyokong, mereka sudah tentu mengharapkan bek tengah baharu dapat diperkenalkan bagi memperkukuhkan barisan pertahanan skuad Sang Penyu yang sedikit rapuh sebelum ini.

Pilihan utama pastinya bekas import pasukan, Pape Diakite yang meskipun hanya menghabiskan tempoh semusim di Pantai Timur, impak ditinggalkan cukup hebat dalam membantu kelab itu berada di tangga kedua Liga Super 2022.

Tetapi, baru-baru ini, bek tengah Senegal itu seperti memberi bayangan bahawa dia terbuka untuk kembali ke pangkuan Terengganu FC selepas memuat naik sekeping gambar di bumi Darul Iman.

Diakite memuat naik sekeping foto memaparkannya di Masjid Kristal baru-baru ini.

Dalam sekeping foto dimuat naik, pemain tinggi lampai tersebut kelihatan meluangkan masa di Masjid Kristal, Terengganu yang menceritakan keterbukaannya untuk kembali ke negeri berkenaan.

Meskipun tidak menyertakan sebarang kapsyen, hantaran ringkas berkenaan memberi bayangan Diakite masih merindui skuad Sang Penyu meskipun sudah hampir tiga tahun meninggalkan kelab terbabit.

Selepas semusim mencurah bakti buat gergasi bola sepak Liga Super itu, pemain tersebut menyertai beberapa kelab sekitar Asia, termasuk Lalitpur City FC di Nepal yang merupakan pasukan semasanya.

Jika Diakite dapat kembali ke pangkuan Terengganu FC, pasukan kendalian Badrul Afzan Razali pasti dapat memberi saingan untuk kembali ke kedudukan lebih baik berbanding musim lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram