
KETUA jurulatih Terengganu FC, Badrul Afzan Rasali meletakkan harapan tinggi terhadap enam pemain import pasukan untuk beri impak postif bersama-sama pemain tempatan lain pada saingan Liga Super musim ini.
Berbanding musim lalu dengan sembilan bintang luar negara, Badrul menyifatkan jumlah kali ini lebih realistik apabila mereka hanya mempertaruhkan enam import sahaja sambil berharap kualiti yang ada dapat membantu kelab untuk memberi tentangan sengit.
Ini kerana, dia kurang berpuas hati dengan prestasi beberapa import pada musim lalu yang kurang menyerlah menyaksikan Terengganu tahun ini tampak lebih berani untuk memastikan kudrat pemain tempatan lebih ditagih berbanding import.
BACA LAGI: Badrul Afzan: Usah khuatir barisan depan TFC hilang sengat
BACA LAGI: Sentuhan Badrul Afzan terus ditagih, kekal kemudi skuad Peteh musim depan
Yann Mabella merupakan salah seorang import terbaru buat skuad Sang Penyu. — Facebook/Terengganu FC
“Musim lepas kita ada sembilan pemain import, tapi musim ini nak pakai enam orang sahaja, jadi sudah tentu saya harap mereka dapat membantu Terengganu FC dengan lebih cemerlang kali ini.
“Sebab saya tengok sebelum ini, beberapa pemain import kita yang ada kurang membantu dan sebab itu saya mengharapkan mereka yang ada musim ini dapat bagi persembahan yang lebih membanggakan," katanya.
Selepas beberapa minggu jendela perpindahan dibuka, skuad Sang Penyu mengumumkan kehadiran Junior Ngong Sam (Cameroon), Yan Mabella (Perancis), Gabriel Silva serta Careca yang kedua-duanya dari Brazil.
Keempat-empat pemain tersebut melengkapkan senarai enam import bakal dipakai kelab Pantai Timur tersebut musim depan selepas mereka turut mengekalkan khidmat Nurillo Tukhtasinov selain akan memperkenalkan seorang lagi rekrut luar negara.
Badrul mengakui pemergian Safawi amat dirindui skuad Sang Penyu, namun percaya akan kualiti anak-anak buahnya. — Facebook/Terengganu FC
Dalam pada itu, Badrul mengakui pasukan turut terasa kehilangan dengan ketiadaan Safawi Rasid pada musim baharu ini, namun percaya kualiti yang ada pada pemain-pemain lain termasuklah Akhyar Rashid yang masih kekal bersama pasukan.
“Sebenarnya lepas kita dah hilang Safawi, memang kita mengharapkan Akhyar untuk tahun ini dan nak tengok dia serta pemain-pemain lain dapat tunjukkan satu persembahan yang baik untuk bantu kelab.
“Sebab musim ini, banyak pasukan lain yang nampaknya semakin bersedia seperti Johor Darul Ta'zim (JDT), Selangor FC, Kuching City FC, Kuala Lumpur City FC serta Sabah FC yang pasti akan jadi pencabar hebat," tambahnya.
Selain memperkenalkan barisan import baharu, skuad Sang Penyu turut mengalu-alukan kehadiran Saiful Jamaludin serta Baqiuddin Shamsudin yang kedua-duanya dari Sri Pahang FC.
Kelab Pantai Timur itu turut menaikkan beberapa 'ubi muda' dari skuad simpanan dalam usaha mempelbagai pasukan yang menamatkan saingan Liga Super musim lalu di tangga kelima. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram