
MESKIPUN menamatkan saingan Liga Super 2024/25 di tangga keempat, Kuching City FC terus meletakkan sasaran tinggi bagi kempen akan datang apabila mereka berbelanja besar pada jendela perpindahan kali ini.
Pasukan kendalian Aidil Sharin Sahak sebelum ini mengumumkan kehadiran Danial Asri dari Selangor FC selain kejayaan mendapatkan penyerang muda berbakat Johor Darul Ta'zim (JDT), Gabriel Nistelrooy secara pinjaman.
Tidak cukup dengan itu, barisan hadapan skuad The Cats turut diperkukuhkan selepas Ramadhan Saifullah yang hadir secara pinjaman musim lalu dikekalkan.
BACA LAGI: The Cats tak main-main, rekrut 3 import termasuk Pak Ngah-Joao Pedro
BACA LAGI: Kuching City terus berimpian besar dengan belanja berhemah
Danial Asri (kanan) menjadi antara penyerang terbaru milik skuad The Cats bagi musim depan. — Facebook/Kuching City FC
Kehadiran ketiga-tiga pemain serangan itu sudah cukup untuk memperkuatkan barisan hadapan pasukan yang turut mengekalkan khidmat penjaring terbanyak, Jordan Mintah.
Bagaimanapun, dalam misi melayakkan diri ke pentas Asia buat pertama kali dalam sejarah kelab, skuad The Cats turut memilih untuk membawa masuk seorang lagi peledak.
Dalam pengumuman dibuat pada Ahad, kelab Borneo tanah air tersebut mengalu-alukan kehadiran penyerang kelahiran Cameroon, Ronald Ngah Wanja.
Pemain berkenaan sememangnya berpengalaman dalam Liga Super apabila pernah beraksi buat Kedah Darul Aman (KDA) FC pada 2022 yang ketika itu turut bersaing dalam Piala AFC.
Namun, meskipun mencatatkan musim cukup baik di Utara tanah air dengan 15 gol dijaringkan, Ronald Ngah yang turut dikenali sebagai 'Pak Ngah' memilih untuk meninggalkan kelab tersebut pada penghujung saingan.
Ronald Ngah meraih pengalaman berharga dalam Liga Super semasa beraksi buat skuad Sang Kenari pada 2022. — Facebook/KDA FC
Penyerang berusia 33 tahun itu kemudian berkelana ke beberapa negara sekitar Timur Tengah sebelum kembali ke arena bola sepak tanah air dengan Kuching City FC menjadi destinasi pilihannya.
Selain memperkuatkan barisan hadapan, Kuching City FC turut memperkenalkan pemain baharu di posisi pertahanan dengan Scott Woods dan Arif Fadzilah ditandatangani.
Kehadiran semua rekrut itu menyaksikan pasukan bekrenaan semakin bersedia untuk bersaing dengan Selangor FC serta seteru Borneo, Sabah FC untuk tiket ke pentas Asia.
Malah, sekiranya terus menampilkan prestasi terbaik, tidak mustahil sekiranya Kuching City FC dapat mencabar dominasi JDT dengan sekurang-kurangnya sebuah trofi dapat diraih. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram