
SERAMAI 22 pemain termasuk tiga tonggak pinjaman Penang FC iaitu penjaga gol Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman dan Richmond Ankrah (Selangor FC) dan tonggak Johor Darul Ta'zim (JDT), Syamer Kutty Abba sah dilepaskan musim depan.
Tidak dinafikan tiga pemain itu memberi sumbangan besar buat Harimau Kumbang pada musim 2024/2025, paling menyerlah pastinya Syamer Kutty yang akhirnya kembali menabur bakti bersama negeri kelahirannya.
Selain tampil dalam 26 perlawanan domestik, pemain bermain di posisi tengah bertahan itu juga diberi kepercayaan oleh barisan kejurulatihan Harimau Kumbang untuk memakai lilitan kapten Penang FC.
BACA LAGI: 'Belum tiba masanya', Natxo Insa enggan gantung but
BACA LAGI: 'Terima kasih Perak,' fans restu Haziq Nadzli tukar angin ke kelab Borneo
Di bawah kendalian jurulatih Wan Rohaimi Wan Ismail yang menekankan corak permainan berasaskan penguasaan bola, Syamer dikenali dengan terjahan agresif, pintasan bijak, hantaran tepat serta keupayaannya mengawal tempo permainan.
Kepulangan Syamer Kutty di kem Harimau Selatan bagaimanapun memberi ancaman kepadanya susulan pemain berusia 28 tahun berkenaan perlu kembali bersaing dengan tonggak lain di posisi defensive midfield.
Harimau Selatan sememangnya terkenal dengan lambakan pemain berkualiti dan disebabkan itulah, ramai tonggak JDT bergelut untuk mendapatkan minit permainan hingga ada yang perlu berkelana ke kelab lain sebagai pemain pinjaman.
Menjelang Liga Malaysia (Liga M) 2025/2026, Syamer Kutty sepertinya perlu menghadapi cabaran persaingan di posisi berkenaan dengan salah seorangnya merupakan pemain yang baru dikaitkan dengan Harimau Selatan pada musim depan.
1) Hong Wan
Hong Wan mengalami musim sukar pada 2024/2025 akibat masalah kecederaan. — Facebook/MFL
Nathaniel Shio Hong Wan sememangnya calon utama untuk mengisi posisi tengah bertahan JDT apabila sebelum ini pemain warisan Malaysia-England itu menjadi tonggak penting pada musim 2023 dan 2022.
Untuk rekod, Hong Wan sudah merekodkan 81 penampilan buat skuad Harimau Selatan sejak menyertai kelab itu pada 2021 dengan sembilan kejuaraan berjaya dijulang dalam tempoh tersebut.
Momen paling manis apabila Hong Wan dinobatkan sebagai pemain terbaik final Piala FA 2023 selepas meledak gol pembukaan JDT, yang membantu Harimau Selatan menewaskan Kuala Lumpur City FC dengan keputusan 2-0.
Bagaimanapun, kecederaan yang dialaminya pada musim 2024/2025 membuatkan dia kehilangan tempat. Kini, Hong Wan sudah kembali pulih dan dia juga sudah mula mendapatkan rentaknya bersama skuad kebangsaan.
Jika Hong Wan dipilih untuk perlawanan persahabatan menentang Cape Verde, tidak mustahil pemain berusia 25 tahun itu kembali mendapatkan potensinya dan memberi menggalas posisi tengah bertahan JDT.
2) Natxo Insa
Natxo masih menjadi pilihan utama JDT di posisi tengah bertahan. — Facebook/JDT
Pemain tengah JDT, Natxo Insa terus membuktikan bahawa usia hanyalah angka apabila kekal menjadi antara tonggak paling konsisten dalam skuad juara bertahan itu meskipun sudah mencecah usia 38 tahun.
Natxo memainkan peranan penting di bahagian tengah pasukan, memanfaatkan pengalaman luas serta kecerdasan taktikalnya untuk memperkukuh permainan Harimau Selatan
Sepanjang ketiadaan Hong Wan, bekas pemain Celta Vigo ini kembali menjadi pilihan utama dalam aksi domestik mahupun di pentas antarabangsa dengan Natxo merekodkan 29 perlawanan termasuk 10 perlawanan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) musim 2024/2025.
Walaupun sebelum ini ada khabar angin mendakwa pemain warisan Sepanyol-Malaysia itu akan bersara, namun Natxo pernah menegaskan bahawa dia masih belum memikirkan soal menggantung but pada musim depan.
Sekiranya Natxo kekal menyarung jersi Harimau Selatan, tidak terkejut untuk menyaksikan pemain berpengalaman sekali lagi menjadi jeneral pertama JDT terutama dalam saingan antarabangsa nanti.
3) Ibrahim Manusi
Ibrahim menghampiri perpindahan ke JDT. — Facebook/JDT
Spekulasi mengenai pemain Sri Pahang FC, Ibrahim Manusi mengenai masa depannya masih lagi menjadi tanda tanya walaupun kedengaran sudah pasti dia akan meninggalkan kelab Pantai Timur itu.
Sebelum ini, terdapat perkhabaran mengatakan yang pemain berusia 23 tahun berkenaan akan berhijrah ke Selangor FC bagi membantu kelab Lembah Klang tersebut menguatkan bahagian tengah mereka.
Persembahan cemerlang ditampilkan tersebut menerima pujian ramai sehingga ada yang menyamakannya dengan bekas kapten Arsenal, Patrick Vieira disebabkan faktor fizikal dan keberanian dalam melakukan asakan.
Namun begitu, Ibrahim yang cemerlang ketika perlawanan akhir Piala Malaysia musim lalu dijangka akan mengubah anginnya dengan menuju ke Selatan Malaysia bagi menyertai juara Liga Super 11 kali berturut-turut itu.
Sekiranya pemain yang juga mampu beraksi di posisi bek tengah itu menyertai Harimau Selatan, Ibrahim akan memberi saingan bukan hanya kepada Syamer tetapi juga untuk Natxo dan Hong Wan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
.