Ungguli kategori A Wanita Sportexcel KLGCC, bakat muda Sg Petani akui mental kini makin kuat


  • Podium
  • Jumaat, 18 Jul 2025

Maisarah pernah beraksi dalam pelbagai kejohanan lalu dan mahu terus mencipta nama.

KEJOHANAN Golf Junior Antarabangsa Sportexcel-KLGCC yang berlangsung selama tiga hari bermula Rabu menyaksikan bakat tempatan berentap dengan pemain antarabangsa dari 10 negara lain.

Ia yang diadakan di Kuala Lumpur Golf and Country Club (KLGCC) itu sememangnya hadir dengan reputasi tersendiri meskipun ulung kali diadakan dalam mengasah bakat pemain muda.

Namun, meskipun turut disertai bintang antarabangsa, Kategori Wanita A bagi mereka yang berumur antara 19 hingga 23 tahun diungguli anak jati Sungai Petani, Kedah iaitu Maisarah Hezri.

BACA LAGI: TSM Golf Challenge ke-14: 85 bakat muda rebut trofi, biasiswa RM133,000

BACA LAGI: Dua harapan golf wanita mampu sumbang pingat di Sukan SEA — Presiden MGA

Pemain berusia 21 tahun tersebut sememangnya teruja setelah menjuarai kategori tersebut sambil menegaskan kejohanan anjuran Sportexcel merupakan satu bentuk pendedahan buat bakat muda.

"Saya berasakan pertandingan ini membantu pemain junior untuk berkembang dalam sukan mereka. Ini kerana Sportexcel menganjurkan enam kejohanan setiap tahun dan pusingan akhir diadakan pada penghujung tahun.

Maisarah (dua dari kanan) mengakui terdapat peningkatan dalam aspek mental.

"Sebagai contoh, pada hujung tahun, Kejohanan Golf Junior Antarabangsa AmBank Group-Sportexcel. Jadi, saya rasa ia merupakan pendedahan cukup baik buat bakat muda, termasuk saya," katanya.

Maisarah yang kini berada di tangga ke-1,659 dalam Ranking Pemain Amatur Golf Dunia (WAGR) turut menyedari perkembangan positif dipamerkannya, termasuk dalam aspek mental.

"Sebelum ini, sekiranya saya membuat silap dalam satu-satu lubang, saya akan hilang fokus pada lubang akan datang. Tetapi, sekarang, saya boleh beri tumpuan lebih baik," jelasnya.

Saingan kali ini menampilkan 108 pemain dari 10 negara yang masing-masing merebut tempat dalam pelbagai kumpulan umur yang dipertandingkan selain mengasah bakat tersendiri.

Kejohanan Golf Junior Antarabangsa Sportexcel-KLGCC memberi peluang untuk merebut dua slot ke Bridgestone ASEAN Tour Grand Finals 2025 pada 31 Oktober depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram