
HARAPAN negara untuk menyaksikan dua pasangan beregu negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani serta Pearly Tan-M Thinaah meraih kejuaraan dalam Terbuka Jepun tidak berjaya.
Ini selepas kedua-dua gandingan tersebut mengalami kekalahan dalam perlawanan akhir bermula dengan kekecewaan pasangan wanita nombor satu tersebut.
Dalam perlawanan yang berlangsung pada Ahad, Pearly Tan dan Thinaah tewas kepada beregu China, Liu Shengshu dan Tan Ning dalam aksi di Tokyo Metropolitan Gymnasium.
BACA LAGI: [VIDEO] Selangkah pertahan gelaran, Sze Fei-Izzuddin mara ke final bertemu Korea di Terbuka Jepun
Sze Fei (kiri) dan Izzuddin menjuarai Terbuka Jepun tahun lalu, namun gagal mempertahankannya.
Lawan mereka yang juga merupakan beregu wanita nombor satu dunia itu menampilkan persembahan cukup mengagumkan yang kemudian menyaksikan wakil negara tersebut tewas 15-21, 14-21.
Ini merupakan kali kedua Pearly Tan-Thinaah tewas kepada pasangan China tersebut dalam perlawanan akhir tahun ini selepas turut mengalami nasib sama pada Terbuka Indonesia di Jakarta bulan lalu.
Sementara itu, nasib sama turut dialami Sze Fei-Izzuddin selepas mereka dikecewakan gandingan dari Korea Selatan, Seo Seung-jae-Kim Won-ho.
Dalam perlawanan yang berlangsung selama 38 minit di venue dan hari yang sama, beregu lelaki negara itu ditundukkan menerusi keputusan 16-21, 17-21.
Kekalahan tersebut menyaksikan mereka gagal mempertahankan kejuaraan Terbuka Jepun dimenangi tahun lalu yang semestinya sedikit mengecewakan beregu nombor satu dunia itu.
Sze Fei-Izzuddin serta Pearly Tan-Thinaah kini akan mengalihkan tumpuan kepada Terbuka China yang akan berlangsung pada Selasa di Changzhou. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram