
PENGANJURAN kejohanan Pestabola Merdeka kembali menjadi permintaan penyokong bola sepak tanah air susulan keputusan Harimau Malaya menarik diri dari kejohanan Piala Negara-Negara Persatuan Bola Sepak Asia Tengah (CAFA) 2025.
Keputusan itu sekali gus menyaksikan jadual Harimau Malaya dalam kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada September ini masih lagi kosong.
Disebabkan itu, cadangan untuk menganjurkan Pestabola Merdeka menjadi antara alternatif segera dilakukan oleh pengurusan pasukan kebangsaan serta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
BACA LAGI: Lee Tuck kembali warnai bola sepak Asia, sertai legenda Jepun berdepan Selangor
BACA LAGI: [VIDEO] Apek teruja bola sepak Kelantan kembali meriah, serahkan masa depan kepada pengurusan Sabah
Sekiranya Pestabola Merdeka dan menjemput beberapa pasukan berstatus elit, ia akan memastikan skuad Harimau Malaya kekal kompetitif menjelang aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos pada Oktober nanti.
Berdasarkan respons penyokong di ruang media sosial, ramai penyokong sudah mula mencadangkan beberapa nama pasukan boleh menjadi ujian awal buat Harimau Malaya sebelum aksi kelayakan Piala Asia berlangsung.
Enam pasukan yang disifatkan wajar menguji kualiti Harimau Malaya ialah Kuwait, Iraq, China, Palestin, Vietnam dan Indonesia dengan masing-masing pasukan mempunyai kekuatan tersendiri.
"Panggillah pasukan seperti Kuwait, Iraq, Palestin, dan China," kata penyokong bola sepak domestik, Fir Daus.
"Indonesia hari itu ada ajak Malaysia lawan kan? Panggillah semula untuk Pestabola Merdeka," komen pengikut Harimau Malaya, Nvc Zri.
"Buat saja Pestabola Merdeka, kan lagi ikonik," ujar seorang lagi penyokong bola sepak tempatan, Azwan Hussin.
Untuk rekod, Harimau Malaya muncul juara Pestabola Merdeka pada edisi 2024 selepas menewaskan Lubnan 1-0, sekali gus menebus kekecewaan tewas kepada Tajikistan dalam final 2023.
Mengikut jadual kelayakan Piala Asia 2027, Malaysia akan berdepan Laos dua kali pada 9 dan 14 Oktober ini diikuti pertembungan dengan Nepal pada 18 November sebelum melengkapkan aksi Kumpulan F menentang Vietnam pada 31 Mac tahun depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram