Ada yang lebih penting berbanding Piala Negara CAFA — Peter Cklamovski


  • Podium
  • Sabtu, 19 Jul 2025

Harimau Malaya terlepas peluang untuk beraksi menentang gergasi Asia seperti Iran dan Tajikistan selepas mengambil keputusan menarik diri dalam saingan Piala CAFA 2025. — Facebook/MalaysiaNT

KETUA jurulatih kebangsaan, Peter Cklamovski tampil mempertahankan keputusan Malaysia menarik diri daripada kejohanan Piala Negara-Negara Persatuan Bola Sepak Asia Tengah (CAFA) 2025, dengan menyifatkannya sebagai langkah strategik demi kepentingan jangka panjang skuad Harimau Malaya.

Menurut Cklamovski, keputusan tersebut bukan dibuat secara tergesa-gesa atau menunjukkan kelemahan, sebaliknya berdasarkan pertimbangan teliti terhadap perancangan pasukan dan logistik.

“Saya faham ada pihak yang kecewa. Tapi keputusan ini bukan sesuatu yang dilakukan dengan mudah. Ia dibuat selepas menilai semua aspek termasuk pemain-pemain yang beraksi di dalam dan luar negara,” jelas jurulatih dari Australia itu.

BACA LAGI: Persaingan sengit di Brunei, Syafiq Ahmad berdepan 'ancaman' penyerang muda Indonesia

BACA LAGI: 'Beza bagai langit dan bumi', sukarnya Top 5 Liga Super 'baham' kelab bawahan luar negara

Kejohanan yang sepatutnya berlangsung di Tajikistan dan Uzbekistan itu dilihat sebagai medan ujian penting menentang pasukan berstatus lebih tinggi.

Namun, menurut Cklamovski, masa dan jadual pertandingan tidak selari dengan matlamat utama pasukan kebangsaan.

“Kami bukan mengelak cabaran. Tapi kami mahu pastikan setiap aksi kompetitif datang pada waktu yang sesuai dan membantu kami mara lebih jauh.

"Fokus utama kami kini adalah pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 pada bulan Oktober dan November. Di situ ada sembilan mata penting yang menjadi keutamaan kami," ujarnya.

Cklamovski jelaskan penarikan diri dari CAFA 2025 demi kepentingan Harimau Malaya dalam tempoh panjang. — Facebook/MalaysiaNT

Beliau turut memberi jaminan bahawa Harimau Malaya akan beraksi dalam beberapa perlawanan persahabatan pada jendela antarabangsa September nanti, yang akan memberi impak kepada kedudukan Malaysia dalam ranking FIFA.

“Saya percaya perlawanan yang akan diumumkan nanti bakal membangkitkan semangat penyokong,” katanya sambil menambah bahawa tempoh tanpa aksi antarabangsa ketika ini tidak mengganggu persiapan pasukan.

Dengan saingan Liga Super yang bakal membuka tirai Ogos nanti, Cklamovski memuji usaha Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) kerana menyusun kalendar lebih awal, sekali gus membolehkan perancangan lebih tersusun di peringkat kelab dan negara.

“Kredit kepada MFL. Perancangan awal ini penting untuk kejayaan jangka panjang. Ia beri kejelasan kepada semua pihak termasuk kami di peringkat kebangsaan,” katanya.

Pada masa sama, Cklamovski juga memberi peringatan kepada semua pemain sama ada yang pernah dipanggil menyertai kem kebangsaan atau belum bahawa prestasi mereka sedang diperhatikan.

“Pemain yang pernah bersama saya tahu standard profesionalisme yang saya tuntut. Bagi yang lain, ketahuilah bahawa anda sedang dipantau. Kalau mahu menyarung jersi Malaysia, anda perlu buktikan di atas padang dan dalam latihan," tambahnya.

Menegaskan pendekatan pemilihannya, Cklamovski berkata, beliau tidak akan membezakan pemain berdasarkan reputasi, lokasi atau latar belakang.

“Saya tak kisah kalau pemain itu beraksi dalam Liga Super, liga luar negara atau liga domestik lain. Yang penting, saya akan pilih pemain terbaik untuk menang perlawanan," ujarnya.

Mengulas spekulasi berhubung kemungkinan lebih ramai pemain warisan dipanggil, Cklamovski menegaskan bahawa walaupun pihak kejurulatihan terus memantau pemain berdarah campuran di luar negara, tiada program khas yang diwujudkan untuk tujuan tersebut.

“Kami kenal pasti beberapa pemain warisan di luar negara dan sedang menjejak perkembangan mereka. Tapi buat masa ini, tiada inisiatif rasmi atau ‘fasa dua’ seperti yang diperkatakan di media sosial," tegasnya.

Dengan pendekatan yang lebih strategik dan profesional, Harimau Malaya dilihat sedang merangka perjalanan yang lebih tersusun untuk melangkah lebih jauh di pentas Asia. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram