Pestabola Merdeka ganti Piala CAFA? KBS tetap sokong pelan FAM


  • Podium
  • Khamis, 17 Jul 2025

Harimau Malaya terlepas peluang untuk beraksi menentang gergasi Asia seperti Iran dan Tajikistan. — Facebook/MalaysiaNT

 

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) menyerahkan sepenuhnya kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan ketua jurulatih skuad kebangsaan, Peter Cklamovski dalam membuat keputusan mengenai penyertaan Malaysia dalam kejohanan antarabangsa.

Kenyataan itu dibuat selepas skuad kebangsaan memutuskan untuk menarik diri daripada saingan Piala Negara-Negara Persatuan Bolasepak Asia Tengah (CAFA) 2025. 

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, pihaknya memahami keputusan yang dibuat oleh barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya dan menghormati justifikasi yang dikemukakan termasuk soal tahap kesiapsiagaan pemain dan jurulatih.

BACA LAGI: Kelab enggan lepas bintang warisan, Harimau Malaya terpaksa tarik diri Piala CAFA 2025 

BACA LAGI: Tarikh dan jadual tak pernah berubah, CAFA sifatkan tindakan Harimau Malaya tarik diri rencat perancangan

"Penyertaan pasukan Malaysia dalam mana-mana pertandingan, yang penting adalah atlet dan jurulatih bersedia. Saya sudah baca temu bual jurulatih (Cklamovski), dan saya percaya beliau lebih tahu mengenai persiapan pasukan.

"Saya menerima sebab-sebab yang telah diberikan oleh jurulatih dan saya yakin jurulatih dan persatuan lebih arif tentang keperluan pasukan mereka.

"Jadi saya akur dan hormati keputusan itu,” katanya ketika ditemui selepas majlis acara Asia Pickleball Summit 2025 (APS25) di Petaling Jaya, Selangor pada Khamis.  

Mengulas kemungkinan Pestabola Merdeka dijadikan sebagai pengganti kepada penyertaan Malaysia dalam Piala CAFA, Hannah menjelaskan bahawa perkara tersebut adalah di bawah bidang kuasa FAM sepenuhnya.

“Itu kena tanya FAM kerana penganjuran apa-apa kejohanan datang daripada persatuan sukan sendiri. Untuk KBS, kita hanya beri sokongan sahaja,” katanya.

FAM sebelum ini memutuskan untuk tidak menghantar skuad kebangsaan ke Piala Negara-Negara CAFA 2025 dan penyokong rata-ratanya berharap Pestabola Merdeka akan dijadikan sebagai pentas alternatif menjelang pusingan kelayakan Piala Dunia.

Hannah (tiga dari kiri) memahami keputusan yang dibuat oleh barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya.

Difahamkan, keputusan itu terpaksa dibuat selepas beberapa pemain utama tidak dapat dilepaskan oleh kelab masing-masing terutamanya bintang warisan yang beraksi di luar negara seperti di Sepanyol, Colombia dan Argentina susulan ia berada di luar kalendar FIFA. 

Ia disuarakan sendiri oleh Cklamovski yang menyatakan perubahan tarikh yang jatuh di luar kalendar FIFA itu menimbulkan cabaran besar dari sudut logistik, ketersediaan pemain, dan tahap kesiapsiagaan skuad secara keseluruhan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram