[VIDEO] Selangkah pertahan gelaran, Sze Fei-Izzuddin mara ke final bertemu Korea di Terbuka Jepun


  • Podium
  • Sabtu, 19 Jul 2025

Sze Fei-Izzuddin kini hanya tinggal selangkah lagi untuk pertahan kejuaraan apabila mara ke final Terbuka Jepun pada Sabtu.

BEREGU lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, meneruskan rentak cemerlang apabila mara ke final kedua berturut-turut di Kejohanan Badminton Terbuka Jepun selepas menewaskan pasangan Taiwan, Liu Kuang-heng-Yang Po-han dalam aksi separuh akhir pada Sabtu.

Gandingan profesional yang kini menduduki ranking nombor satu dunia itu menampilkan aksi tenang dan bertenaga untuk mencatat kemenangan straight set 21-19, 21-11 ke atas beregu nombor 24 dunia di Gimnasium Metropolitan Tokyo.

Kemenangan itu membuka laluan buat Sze Fei-Izzuddin untuk mempertahankan kejuaraan yang mereka menangi pada edisi tahun lalu.

BACA LAGI: 'Beza bagai langit dan bumi', sukarnya Top 5 Liga Super 'baham' kelab bawahan luar negara

BACA LAGI: Persaingan sengit di Brunei, Syafiq Ahmad berdepan 'ancaman' penyerang muda Indonesia

Di pentas final yang diadakan pada Ahad (20 Julai), mereka bakal berdepan cabaran getir menentang pilihan ketiga kejohanan dari Korea Selatan, Seo Seung-jae-Kim Won-ho, yang sebelum itu menamatkan impian final beregu profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi 21-14, 21-15.

Untuk rekod, kedua-dua pasangan pernah berentap dua kali dengan masing-masing merekodkan satu kemenangan, menjadikan pertemuan kali ini amat dinanti-nantikan oleh peminat badminton.

Perlawanan akhir dijangka menjadi pertembungan sengit antara dua pasangan elit yang kini berada di kemuncak prestasi. — The Star/R.KIRUBASHINI

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram