
PICKLEBALL merupakan salah satu sukan sedang meningkat naik di tanah air dengan orang ramai mula menjinakkan diri dalam sukan raket yang menggabungkan elemen dari tenis, badminton, dan ping pong.
Perkembangan sukan berkenaan membuatkan pelbagai jenama raket dan bola pickleball mula hadir termasuk dengan usahawan tempatan juga tidak melepaskan peluang terlibat dalam produksi gelombang itu.
Salah satu jenama raket pickleball yang sedang meningkat naik ialah PikPok, diasaskan oleh tiga rakan baik iaitu Karen Lee, Melissa Ng dan Vernon Chua dengan ia mencuri perhatian peminat pickleball di Malaysia serta Australia.
BACA LAGI: [VIDEO] Baru buka seminggu, venue pickleball Amelia Henderson jadi tuan rumah kejohanan antarabangsa
PikPok, jenama yang diperkenalkan secara rasmi pada 10 November 2024 di Melbourne berkenaan mendapat namanya daripada bunyi khas permainan pickleball itu sendiri 'PikPok, PikPok'.
Dari dewan sekolah ke pentas antarabangsa
Bercerita mengenai detik permulaan PikPok kepada Majoriti, dua pengasas itu menceritakan bahawa pengalamannya ibu Melissa yang bermain di dewan sekolah dekat Pulau Pinang menjadi titik permulaan yang menggerakkan mereka untuk membawanya ke peringkat lebih tinggi.
"Dua tahun lalu ada kawan mak dari Amerika datang dan mengajak main pickleball. Masa itu mereka memang main di dewan sekolah sahaja. Selepas ibu saya terus jatuh cinta dengan keseronokan permainan ini.
"Selepas itu mereka (ibu bapa) datang ke Melbourne dan cuba bermain pickleball di Melbourne dan ajak saya sekali. Kami perhatikan bagaimana komuniti di sana berinteraksi dan bagaimana kualiti peralatan sangat penting," kongsi Melissa yang berperanan sebagai Pengasas Bersama / Pengarah Kewangan PikPok.
Karen (kanan) dan Melissa.
Menggabungkan kualiti dan semangat komuniti
Pengalaman bermain sukan berkenaan di Melbourne bersama keluarga itu membuatkan Melissa dan dua lagi rakannya membuat PikPok pada November 2024 dengan pelbagai prototaip dibuat pada peringkat awal.
Walaupun pembuatan paddle PikPok dilakukan di China, proses rekaan, pemeriksaan kualiti dan inovasi produk dikendalikan sepenuhnya di Melbourne. Ia memastikan setiap produk memenuhi piawaian tinggi dan dapat bersaing di peringkat antarabangsa.
Visi PikPok bukan sekadar membangunkan jenama, tetapi juga memupuk komuniti dan memperkasakan sukan pickleball di Malaysia yang dilihat semakin lama semakin mendapat tempat dalam kalangan orang ramai.
Berdasarkan pemerhatian mereka, dengan pelbagai venue berkelas dunia yang terdapat di Kuala Lumpur dan beberapa bandar utama, mereka melihat potensi besar untuk mengembangkan sukan ini.
“Kami ingin pastikan kualiti produk bukan sahaja memenuhi kehendak pemain profesional tetapi juga sesuai untuk pemain sosial, yang merupakan majoriti dalam sukan ini.
"Malaysia mempunyai venue yang hebat, tetapi kami perlukan peralatan yang berkualiti tinggi supaya pemain dari semua peringkat dapat bermain dengan baik dan selesa," kongsi Karen yang merupakan Pengasas Bersama dan Pengarah Pembangunan Perniagaan PikPok.
PikPok juga memasarkan bola pickleball, topi dan beg.
Perjalanan dan cabaran
Perjalanan PikPok bukan tanpa cabaran. Bermula dari pengalaman santai di dewan sekolah, mereka perlu mempelajari aspek teknikal dalam reka bentuk paddle dan memenuhi standard kualiti antarabangsa.
Tiga rakan baik berkenaan juga menyedari pentingnya pendidikan kepada pemain mengenai kepentingan peralatan berkualiti tinggi dan bukan hanya bergantung pada jenama semata-mata.
“Kami cuba cari bahan dan prototaip yang sesuai. Kadang-kadang kami diuji dengan produk murah, tetapi kami mahu yang terbaik untuk pelanggan kami.
“Kami mahu orang menilai produk kami berdasarkan kualiti dan prestasi, bukan semata-mata nama jenama. Ini adalah cabaran kerana di luar negara, bias terhadap produk tempatan agak kuat. Jadi, kami fokus pada mutu dan cerita kami," kongsi mereka.
Pendekatan berbeza dengan jenama besar
Apa yang membezakan PikPok dengan jenama besar lain adalah keterlibatan langsung mereka dengan komuniti pemain sosial dan profesional dengan mereka mengumpul maklum balas daripada pelbagai golongan pemain dan menjadikannya sebagai asas untuk memperbaiki produk.
“Banyak jenama besar hanya fokus pada maklum balas daripada atlet profesional, tetapi pickleball adalah sukan sosial. Aspek sosial ini sangat penting untuk kami. Kami mahu lebih ramai orang, dari kanak-kanak hingga warga emas, dapat bermain dan berseronok.
"Disebabkan aspek sosial. Jadi, lebih ramai orang boleh bermain, lebih ramai orang boleh menikmati, menyeronokkan. Pemain biasa juga boleh menikmati pertandingan. Jadi, itulah sebabnya, itulah yang kita mahu," kata Karen dan Melissa.
Membangun komuniti sosial yang kukuh
Selain memasarkan produk, PikPok menumpukan usaha membina komuniti yang bersifat sosial terlebih dahulu. Mereka menganjurkan liga untuk pemain amatur dan peringkat sederhana yang berasaskan pasukan agar pemain boleh berinteraksi sambil bersaing secara sihat.
“Kami percaya, liga ini bukan hanya untuk profesional, tetapi lebih kepada pemain sosial dan intermedi. Mereka boleh berseronok, bertanding dan mengeratkan hubungan sesama mereka,” kata Karen.
Menurut Melissa, mereka juga bekerjasama dengan pihak sekolah, kaunselor tempatan, dan kelab komuniti untuk memperkenalkan sukan ini kepada lebih ramai golongan. Ini termasuk program keluarga yang menggalakkan ibu bapa dan anak-anak bermain bersama.
Mereka juga aktif menjalankan pelbagai aktivasi komuniti termasuk program di sekolah, kelab tempatan, dan penajaan acara besar seperti World Pickleball Championship (WPC) pada 16 hingga 20 Julai 2025 di Petaling Jaya, Selangor. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram