
DUA usahawan perniagaan raket pickelball, Karen Lee dan Melissa Ng dari PikPok, yakin sukan berkenaan boleh berkembang pesat di Malaysia dengan adanya platform rasmi seperti Sukan Malaysia (Sukma).
Karen dan Melissa yang merupakan pengasas raket pickleball, PikPok melihat sekiranya sukan itu didaftarkan dalam Sukma, ia merupakan langkah awal untuk mencari dan membangunkan bakat-bakat baru dalam sukan berkenaan.
Menurut mereka, pickleball bukan sekadar versi mini tenis atau badminton, sebaliknya ia mempunyai potensi tersendiri dan memerlukan pendekatan inklusif serta sistem sokongan yang kukuh dari peringkat akar umbi hingga ke peringkat profesional.
BACA LAGI: Sukar nak ukur pickleball sukan no.1, Adam Adli harap Malaysia lahirkan bintang seperti Nicol David
"Saya rasa ia (pickleball dimasukkan sebagai sukan dalam Sukma) sepatutnya inklusif. Kita kena cuba dalam kejohanan yang dikenali di Malaysia dulu sebelum kita naik ke pentas antarabangsa.
"Jadi kalau ada platform ini, selepas itu atlet-atlet grassroots boleh naik. Pada pandangan saya, Sukma platform yang sangat bagus. Kita perlu membinanya daripada bawah," kata Karen kepada Majoriti.
Mereka menegaskan bahawa walaupun Sukma adalah platform yang sangat baik, pembangunan pickleball memerlukan kerjasama erat antara pihak kerajaan dan sektor swasta untuk membentuk struktur sokongan yang menyeluruh, termasuk pendidikan dan latihan.
Melissan melihat Malaysia mempunyai potensi yang besar dalam sukan pickleball dengan kekuatan tersendiri, namun usaha pembangunan perlu dimulakan secara sistematik dan berterusan.
Karen (kanan) dan Melissa merupakan pengusaha raket pickleball tempatan iaitu PikPok.
“Seperti sistem pendidikan sekolah yang teratur, atlet juga perlu sokongan sosial dan struktur yang jelas agar mereka dapat berkembang di semua tahap. Tapi jika awak mahu mengembangkannya di semua tahap. Awak perlukan kerajaan dan struktur juga.
"Jika struktur itu dah bagus, baru kita nampak jalan yang jelas untuk bangunkan sukan ini. Kemudian kita boleh menghasilkan lebih banyak atlet dan harapnya kita boleh berlawan dengan atlet dari luar negara," jelasnya.
Dalam temu bual tersebut, mereka turut berkongsi kisah dua atlet muda berpotensi dari Malaysia, antaranya seorang budak lelaki berusia 11 tahun dari Sarawak yang kini menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan gaya permainan agresif.
Mereka percaya dengan sokongan lebih kukuh daripada kerajaan dan pihak swasta, serta kerjasama yang erat, Malaysia mampu menghasilkan lebih banyak pemain pickleball bertaraf antarabangsa.
“Sekarang sudah ada beberapa pemain Malaysia yang berada di tahap profesional, seperti Jimmy Liong dan Colin Wong. Tetapi kita juga perlu terus membangun dan membuka peluang untuk generasi akan datang,” kata mereka lagi.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi.
Dengan usaha berterusan ini, mereka optimis pickleball akan berkembang menjadi sukan popular dan kompetitif di Malaysia, sekali gus memberi peluang kepada atlet muda untuk mencipta nama di arena antarabangsa.
Terdahulu, Tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, Selangor akan mempertimbang untuk menyenaraikan sukan pickleball sebagai sukan pertunjukan pada temasya dwitahunan berkenaan.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, pihaknya ada menerima cadangan untuk mengetengahkan sukan berkenaan.
Beliau berkata, bagaimanapun pickleball masih belum mendapat pendedahan meluas di semua negeri untuk dijadikan sebagai sukan tambahan dalam temasya SUKMA.
Menurutnya, setakat ini hanya beberapa negeri seperti Selangor, Sarawak, Perak dan Pulau Pinang mempunyai kemudahan infrastruktur serta penyertaan yang lebih aktif dalam sukan berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram