
MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memaklumkan pihaknya masih belum menerima sebarang perkembangan rasmi mengenai keadaan semasa pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia susulan penarikan dirinya daripada kejohanan Badminton Terbuka China pada Rabu.
Menurut Hannah, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Institut Sukan Negara (ISN) sentiasa bersedia menghulurkan bantuan kepada Zii Jia sekiranya diperlukan, namun setakat ini tiada komunikasi langsung dibuat oleh pemain tersebut.
BACA LAGI: Hantaran ‘misteri’ Zii Jia cetus tanda tanya, ada kaitan tanda-tanda kemurungan
BACA LAGI: Semua pihak harus bersabar, faham keputusan Lee Zii Jia tarik diri Terbuka Jepun
“Saya menghormati keputusan Lee Zii Jia. Saya ingin memberi sedikit komen mengenai hantaran yang dimuat naik olehnya. ISN dan KBS bersedia untuk membantu dia sekiranya dia memerlukan sebarang bantuan.
"Namun setakat ini, Zii Jia belum bercakap atau menghubungi saya berkaitan sebarang bantuan. Saya mahu beri ruang kepada Zii Jia kerana jika dia perlukan sokongan, dia ada nombor telefon saya dan saya yakin dia akan menghubungi kami jika perlu.
"Buat masa ini, ISN telah cuba menghubunginya tetapi setakat ini saya sendiri belum mendapat sebarang maklumat terkini," katanya ketika ditemui selepas acara Asia Pickleball Summit 2025 (APS25) di sebuah hotel dekat Petaling Jaya, Selangor pada Khamis.
Beliau turut menjelaskan bahawa setakat ini, pasukan pemain berkenaan hanya menghubungi Majlis Sukan Negara (MSN) untuk memberikan penjelasan berkaitan hantaran media sosial terdahulu.
Hannah ketika menghadiri APS25 di sebuah hotel dekat Petaling Jaya, Selangor pada Khamis.
Sebelum ini, status Zii Jia pada laman Instagaram menimbulkan tanda tanya apabila pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu berkongsi beberapa siri lukisan berunsur abstrak dan 'aneh'.
Justeru, Hannah menyerahkan kepada pemain itu sendiri untuk memberikan maklum balas kepada umum mengenai status kesihatannya dan alasan sebenar penarikan diri daripada kejohanan tersebut.
“Tiada apa-apa komunikasi rasmi diterima daripada pasukan Zii Jia kepada KBS atau ISN. Mereka cuma hubungi MSN untuk penjelasan. Jadi, kami tiada maklumat lanjut tentang keadaannya.
“Kalau nak tahu keadaannya sekarang, perlu tanya Zii Jia sendiri. Saya tidak boleh sahkan sama ada dia okey atau tidak. Itu hanya boleh dijelaskan oleh atlet itu sendiri,” katanya.
Antara ilustrasi yang dikongsi Zii Jia di Instagram miliknya. — Instagram/leeziijia
Untuk rekod, Terbuka China merupkana kejohanan ketiga berturut-turut yang menyaksikan penarikan diri pemain berusia 27 tahun itu selepas Terbuka Amerika Syarikat pada Jun dan Terbuka Jepun pada minggu ini berikutan kecederaan pergelangan kaki kanan yang dialaminya di Seluruh England, Mac lalu.
Dan segala tumpuan pasti mula terarah sama ada pemain yang menghuni ranking ke-27 dunia itu sempat pulih sepenuhnya bagi menyertai Kejohanan Dunia yang akan berlangsung di Paris, Perancis dari 25 hingga 31 Ogos ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram