
DOMINASI Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam Liga Super Malaysia sejak sedekad lalu sememangnya sukar digugat, namun musim 2025 menyaksikan 13 kelab yang bertanding masing-masing mempunyai kekuatannya yang tersendiri.
Namun jika dilihat secara keseluruhan, tiga kelab seperti KL City FC, Kuching City FC dan Brunei DPMM FC mampu tampil tampil sebagai pencabar baharu yang semakin bersedia menggoncang takhta.
Dengan kombinasi pemain berkualiti, struktur pengurusan lebih mantap dan perancangan taktikal segar, ketiga-tiga pasukan ini bukan lagi sekadar pelengkap jadual.
BACA LAGI : Ex-striker Sabah tiada rezeki di Vietnam, 3 kelab termasuk Kuching City boleh jadi majikan baharu
BACA LAGI : JDT labur RM15 juta, Sabah FC sempat menyelit miliki pemain termahal Liga Super
Apakah JDT bakal terus unggul, atau tiga pasukan ini bakal mencetus kejutan seperti sejarah KL City pada Piala Malaysia 2021? Saingan musim baharu pastinya lebih terbuka dan penuh debaran.
1. KL City FC
Skuad Warga Kota meraikan kejuaraan selepas menewaskan JDT 2-0 pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2021. — Gambar/Facebook KL City FC
KL City FC yang berdepan pelbagai cabaran musim lalu kini dilihat lebih bersedia dengan kehadiran tiga pemain pinjaman dari JDT Safawi Rasid, Syamer Kutty Abba, dan Manuel Hidalgo yang dijangka memperkukuh setiap bahagian pasukan.
Safawi bakal menjadi nadi serangan, manakala Hidalgo dan Syamer memberikan kestabilan di tengah dan sayap.
Pada masa sama, dengan kemasukan jurulatih baharu, Risto Vidakovic, KL City mengintai peluang untuk mencabar kedudukan kelompok empat terbaik, apatah lagi mereka kini mempunyai kemudahan latihan sendiri yang bakal memberi nilai tambah dari segi fizikal dan taktikal.
Selain itu, tidak mustahil sekiranya skuad Warga Kota dapat mencipta kembali sejarah mengalahkan skuad Harimau Selatan pada 2021.
Pada perlawanan tersebut KL City FC bukan sahaja mengejutkan para penyokong tetapi juga juara bertahan dengan menewaskan JDT 2-0 untuk merangkul Piala Malaysia ke-100 tahun pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
2. Kuching City semakin matang
Gabungan Gabriel Nistelrooy (kiri) dan Jaoa Pedro sudah pastinya akan memberi rentak baru dalam skuad The Cats.
Pernah dianggap sebagai pasukan belasahan, Kuching City mula menunjukkan identiti sebagai pasukan pencabar selepas menamatkan saingan musim lalu di tangga keempat dengan 36 mata daripada 22 perlawanan.
Prestasi mereka sepanjang musim juga mencuri tumpuan apabila berjaya memberi saingan kepada beberapa pasukan utama termasuk tewas tipis kepada juara bertahan, JDT.
Menyedari keperluan untuk terus konsisten, pengurusan kelab membawa masuk tiga pemain JDT Haziq Nadzli, Gabriel Nistelrooy, Ramadhan Saifullah dan seorang pemain import baharu sebagai persediaan menghadapi musim 2025/2026 yang dijangka lebih mencabar.
Malah kehadiran Gabriel Nistelrooy sebagai penyerang dan Jaoa Pedro sudah pastinya akan memberi rentak baru dalam pasukan tersebut.
Keyakinan tinggi ditunjukkan pengurusan dan barisan pemain, sekali gus memberi isyarat awal bahawa Kuching City tidak sekadar mahu kekal, tetapi bersedia untuk mencabar kejuaraan.
3. Brunei DPMM FC
Kehadiran Tommy Mawat sudah pasti memberi lebih banyak pilihan buat pasukan Brunei. — Gambar/Facebook Brunei DPMM FC
Satu lagi pasukan yang mencuri perhatian ialah Brunei DPMM FC yang kembali menyertai Liga Super Malaysia selepas 17 tahun, dengan status kelab jemputan.
Kelab yang pernah menjuarai Piala Malaysia pada 1999 meletakkan sasaran realistik untuk berada dalam kelompok enam teratas musim ini.
Tambahan pula, kehadiran bekas pemain Perak FC, Tommy Mawat, serta bekas tonggak Penang FC, Fairuz Zakaria, sudah pasti memberi lebih banyak pilihan buat ketua jurulatih Jamie McAllister dalam merencana taktikal pasukan.
Berbeza dengan kehadiran kelab luar sebelum ini, DPMM tampil dengan struktur profesional termasuk menanggung sepenuhnya kos perjalanan pasukan lawan ke Brunei langkah yang mendapat pujian dan memudahkan kelancaran liga.
Kembalinya DPMM dijangka memberi nilai tambah kepada saingan Liga Super dari segi persaingan teknikal, pemasaran serantau dan keterbukaan liga terhadap pasukan luar. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram