
SATU komen di laman Facebook Kuching City FC menyatakan dengan gandingan Datuk Fazzrudin Abdul Rahman selaku pengerusi kelab dan Aidil Sharin Sahak di kerusi ketua jurulatih, "perkara besar" boleh terus dijangkakan daripada skuad yang mengejutkan ramai di tangga keempat Liga Super musim lalu.
Secara tidak langsung, ia menggambarkan keghairahan dalam kem The Cats itu yang menjadi antara pasukan terawal memulakan latihan baru-baru ini sebagai persiapan menghadapi musim baharu bermula pertengahan Ogos nanti.
Menyasarkan kesudahan dalam kelompok lima teratas sekali lagi pada musim 2025/2026, kedua-duanya bersepakat bahawa perancangan rapi, berbelanja ikut kemampuan tanpa terpengaruh dengan langkah pasukan ‘kayangan’ dan memaksimumkan keupayaan setiap pemain, "perkara besar" yang dicitakan mampu dicapai.
BACA LAGI : Ouch! Kali kedua Mat Zan Mat Aris terkesima tapi anggap ia sudah nasibnya
BACA LAGI : Kewajaran MFL tetapkan kuota 15 tenaga import timbulkan persoalan
Teratas dalam senarai keutamaan kelab itu ialah mengekalkan kestabilan dalam pasukan, menutup sebarang kelompangan dalam barisan pemain berdasarkan pengajaran musim lalu serta meningkatkan kedalaman skuad yang diperlukan untuk mengharungi satu musim yang panjang.
Aidil Sharin memilih untuk mengekalkan lebih 80 peratus anggota skuad musim lalu. — Facebook Kuching City FC
Lantaran itu, Aidil Sharin memilih untuk mengekalkan lebih 80 peratus anggota skuad musim lalu sambil membawa masuk segelintir muka baru untuk mempertajamkan lagi serangan pasukannya.
"Kita tidak boleh rombak banyak sangat untuk musim depan kerana ia boleh menjejaskan rentak pasukan.
"Mungkin kita ubah tiga atau empat pemain berpandukan kepada kelemahan yang kita lihat pada musim ini dan bina pasukan terbaik menuju ke arah pencapaian lebih baik pada musim 2025-2026," kata Aidil Sharin selepas aksi musim lalu selesai.
Dengan Kipre Tchetche sudah dilepaskan untuk menyertai Penang FC, The Cats merekrut penyerang dari Cameroon, Ronald Ngah Wanja, 33, yang pernah menghabiskan semusim bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC pada 2022, dan pemain sayap kebangsaan Timor-Leste, Joao Pedro.
Pedro diingati kerana larian pantasnya dalam perjalanan menyudahkan gol untuk Timor Leste mendahului 2-1 sebelum tunduk 2-3 kepada Harimau Malaya dalam perlawanan peringkat kumpulan Kejohanan AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 11 Disember tahun lalu dan pernah mewakili UiTM United pada musim 2021-2022.
Sebelum ini, Pedro dilaporkan hampir memuktamadkan perpindahan ke Kuala Lumpur City FC, namun pemain berusia 27 tahun itu kemudian memutuskan untuk menyambut tawaran Kuching City FC selepas meninggalkan Angkor Tiger FC dalam Liga Perdana Kemboja.
Pedro diingati kerana larian pantasnya dalam perjalanan menyudahkan gol untuk Timor Leste pada tahun lalu. — Facebook Kuching City FC
"Pemain-pemain ini direkrut berdasarkan kepada kelestarian kewangan kelab dan kesesuaian pasukan. Kami berhati-hati agar tidak mengatasi bajet pasukan sambil mahukan pemain yang memahami budaya pasukan dan dapat menyesuaikan diri dengan cepat,” kata Fazzrudin seperti dilaporkan Sarawak Tribune.
Mengekalkan Moses Atede dan Petrus Shitembi di barisan tengah, Aidil Sharin turut membawa masuk pemain kebangsaan Filipina, Scott Phillip untuk disesuaikan dengan variasi formasi pasukan.
"Mereka akan meningkatkan kestabilan dan membenarkan pasukan untuk meningkat dengan pendekatan lebih seimbang," tambah Fazzrudin yang baru menang tanpa bertanding jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) selepas pencabar beliau, Dr Mohd Shafiq Abdullah, menarik diri dalam mesyuarat agung 14 Jun lalu.
Kuching City juga sah menandatangani penjaring terbanyak Piala MFL, Gabriel Nistelrooy, 25, dari Johor Darul Ta'zim II (JDT II), pemain sayap, Danial Asri, dari Selangor FC, dan bekas penjaga gol Perak FC melalui pinjaman daripada JDT, Haziq Nadzli – jadi saingan kepada Shahril Sa’ari dan Wan Azraie Wan Teh.
Berkongsi resipi kejayaan kelab, Fazzrudin percaya urus tadbir telus dan pendekatan mirip syarikat korporat telah membantu Kuching City FC mengatasi jangkaan ramai dalam aspirasinya menjadikan kelab itu bukan hanya sebagai sebuah pasukan bola sepak tetapi sebuah pertubuhan profesional dan terurus dengan cemerlang.
Penjaring terbanyak Piala MFL, Gabriel Nistelrooy kini beraksi bersama skuad The Cats. — Facebook Kuching City FC
Di sebalik momentum positif ditunjukkan kelab setakat ini dengan keupayaan memaksimumkan sumber terhad gara-gara kekangan bajet, beliau mengingatkan perjalanan Kuching City masih panjang dalam merealisasikan Impian mereka.
"Ia satu proses selangkah demi selangkah dan kami tidak bercadang memecut ke garis penamat. Dalam pada itu, kami juga memfokus untuk sentiasa memperbetulkan kesilapan dan belajar sebanyak boleh sepanjang perjalanan kami ini.
"Sasaran kami pada musim 2025/2026 ialah untuk berkesudahan dalam kelompok lima teratas. Tapi ia turut jadi impian kami untuk menang satu piala sama ada Piala Malaysia atau Piala FA,” katanya seperti dipetik Sarawak Tribune.
Dalam perancangan Aidil Sharin dan barisan barunya akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan tempatan dalam Jelajah Sarawak, bermula dengan persinggahan di Betong bermula Isnin , Mukah (2 Julai), Sibu (3 Julai), Bintulu (4 Julai) dan Miri (5-6 Julai).
Tujuannya ialah untuk menilai keupayaan skuad dan menggilap keserasian dalam pasukan dengan penyertaan pemain-pemain baharu.
Seterusnya, mereka akan mengharungi satu siri perlawanan ujian selama 11 hari di Jakarta, bermula dengan perlawanan pertama 18 Julai dan yang terakhir pada 28 Julai.
Mampukah Kuching City FC mengulangi pencapaian di tangga keempat?
Jika saya seorang yang gemar bertaruh, saya akan letakkan wang saya untuk mereka mengisi kelompok tiga terbaik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram