The Cats tak main-main, rekrut 3 import termasuk Pak Ngah-Joao Pedro


  • Podium
  • Rabu, 25 Jun 2025

Pak Ngah pernah mencatat rekod dengan jaringan dua gol ketika menentang Johor Darul Ta'zim. — Facebook/KDAFC

KELAB Liga Super sedang meningkat naik, Kuching City FC menjadi antara pasukan yang agresif merekrut pemain baharu untuk memperkuatkan pasukan menjelang kempen Liga Malaysia (Liga M) pada musim 2025/2026. 

Musim lepas di bawah kendalian Aidil Sharin Sahak menyaksikan skuad The Cast berhasil menghuni kedudukan keempat liga dengan merekodkan 10 kemenangan, lima seri dan selebihnya tewas usai 24 perlawanan.

Ia jelas satu pencapaian yang membanggakan buat kelab berpangkalan di Borneo berkenaan apabila kempen 2023 menyaksikan The Cats menghuni kedudukan ke-13 liga selepas 26 perlawanan domestik.  

BACA LAGI: Aidil Sharin disebut pulang ke Singapura, Fandi Ahmad-Akmal Rizal antara 3 pengganti sesuai di Kuching City

BACA LAGI: Masih belum ada kelab, Penang-Selangor-Kuching City boleh rekrut bintang warisan tak jadi

Perubahan positif itu diteruskan Kuching City dengan barisan kejurulatihan mendapatkan tiga pemain berkualiti iaitu Haziq Nadzli, Danial Asri, Ramadhan Saifullah, dan Gabriel Nistelrooy.

Tidak cukup dengan tiga pemain berkenaan, The Cats juga dilaporkan akan membawa masuk Ronald Ngah Wanja dari Cameroon, Scott Phillip iaitu pemain kebangsaan Filipina dan tonggak Timor-Leste, Joao Pedro. 

Perkembangan itu dikongsikan oleh Pengerusi kelab, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman yang memberitahu pemilihan pemain import dilakukan dengan teliti dan berpaksikan kepada dua prinsip utama yang menjadi teras kelab.

"Pertama, kita mengambil kira kekangan bajet…kita tidak mahu membebankan kelab dengan perbelanjaan besar dan kedua, kita utamakan kesesuaian pemain dengan budaya dan semangat kekitaan dalam pasukan," memetik laporan TVS. 

Sedikit info mengenai import baharu The Cats, Ngah Wanjah atau dikenali sebagai Pak Ngah dalam kalangan penyokong, dia pada mulanya sering dikecam kerana persembahannya tetapi dia meninggalkan Kedah dengan rekod 15 gol, lima bantuan jaringan dalam 28 perlawanan.

Pedro ketika beraksi menentang Harimau Malaya pada Piala AFF 2024. — Facebook/MalaysiaNT

Manakala, Pedro yang sebelum ini bermain untuk kelab Kemboja iaitu Angkor Tiger berhasil mencetak tujuh gol dan enam bantuan jaringan dalam 26 aksi domestik penyerang sayap itu diturunkan. 

Phillip yang beraksi di posisi bek kiri pula merupakan tonggak kelab Kemboja, Boeung Ket apabila dia tampil dalam 17 perlawanan musim ini dengan dua daripadanya untuk kempen Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram