
MANCHESTER United disaran bertindak pantas untuk mendapatkan khidmat Victor Osimhen selepas rundingan pembelian Bryan Mbeumo bakal dimuktamadkan, susulan khabar bahawa Liverpool turut berminat mendapatkan penyerang sensasi Nigeria itu.
Difahamkan, rundingan United untuk membawa masuk Mbeumo dari Brentford kini berada di fasa akhir selepas dua tawaran terdahulu ditolak.
Brentford sebelum ini menetapkan harga melebihi £65 juta (RM394 juta) untuk melepaskan pemain berusia 25 tahun itu, yang dilaporkan lebih berminat menyertai pasukan kendalian Ruben Amorim berbanding Arsenal dan Newcastle.
Mbeumo dijangka menjadi pembelian ketiga United musim panas ini dan akan digandingkan bersama pemain baharu Matheus Cunha di barisan serangan yang akan diberi nafas baharu musim depan.
BACA LAGI: Tak sempat jumpa anak sulung, pemain bola sepak Palestin maut akibat serangan peluru berpandu Israel
BACA LAGI: Arena bola sepak negara belum stabil tapi Omar tetap latih anak demi bina karakter
Namun, tekanan kini memuncak untuk membawa masuk penyerang nombor sembilan yang berkualiti bagi memperkukuh jentera serangan, terutama selepas prestasi kurang menyakinkan daripada Rasmus Hojlund serta kecenderungan Joshua Zirkzee beraksi lebih sebagai pemain tengah menyerang.
Sasaran utama sebelum ini, Liam Delap, memilih menyertai Chelsea selepas pasukan Amorim gagal layak ke Liga Juara-Juara, sekali gus membuka ruang kepada spekulasi perpindahan Osimhen ke Old Trafford.
Osimhen, 26, yang dipinjamkan ke Galatasaray musim lalu, mempamerkan prestasi luar biasa dengan 37 gol dalam 41 perlawanan, satu rekod yang jelas meletakkannya sebagai penyerang elit.
Namun, United bukan satu-satunya kelab yang mengintai khidmatnya.
Menurut laporan Givemesport, Liverpool turut mengadakan perbincangan dengan wakil Osimhen pada Jun lalu.
Pengendali baharu The Reds, Arne Slot, dilaporkan bersedia untuk melabur besar dalam mendapatkan pemain berprofil tinggi, seperti yang dibuktikan menerusi rundingan bernilai £116 juta (RM703 juta) untuk Florian Wirtz.
Berita yang menggembirakan kem United, Osimhen dikatakan telah membuat keputusan untuk menyertai Red Devils walaupun kelab itu tidak beraksi dalam Liga Juara-Juara dan baru sahaja mencatat kempen Liga Perdana paling buruk dalam sejarah kelab.
Tarikan jenama United masih kukuh, terbukti apabila Cunha dan Mbeumo bersetuju menyertai walaupun kelab itu sedang berdepan fasa peralihan.
Namun begitu, perpindahan Osimhen dijangka memerlukan pelaburan besar. Nilai £65 juta (RM292.9 juta) yang diletakkan sebagai harga perpindahan dan permintaan gaji mencecah £400,000 (RM2.42 juta) seminggu melebihi struktur gaji yang sedang cuba dikawal oleh pemilik baharu, INEOS.
Namun, keinginan Osimhen untuk menyertai United boleh menjadi penentu sekiranya rundingan memasuki peringkat syarat peribadi.
Bagi penyokong dan pengurusan United, melihat Liverpool 'mencuri' peluang ini pasti menjadi mimpi ngeri yang ingin dielakkan.
Justeru, segala fokus kini perlu diberikan untuk memastikan Osimhen menjadi milik Old Trafford sebaik sahaja urusan Mbeumo dimeterai. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram