
BEKAS penyerang Everton, Dominic Calvert-Lewin dikatakan sangat terbuka dan teruja untuk menyertai Manchester United pada jendela perpindahan musim panas ini.
Pemain berusia 28 tahun berkenaan meninggalkan Goodison Park secara perpindahan percuma awal bulan ini selepas kontraknya tamat bersama The Toffees.
Menurut pendedahan wartawan bola sepak terkenal, Fabrizio Romano, Calvert-Lewin kini dilaporkan telah ditawarkan kepada Manchester United sebagai pilihan penyerang berkos rendah yang berpengalaman dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
BACA LAGI: MFL buat ‘U-turn’, hanya 6 pemain asing kini dibenarkan di atas padang
BACA LAGI: Tiada lagi isu tak boleh beraksi, terma pemain pinjaman JDT kini lebih 'gentleman'
United yang sedang giat mencari penyerang nombor sembilan baharu, masih bergelut untuk mendapatkan sasaran utama mereka, selepas Liam Delap dan Viktor Gyokeres menolak tawaran kelab tersebut.
Dalam usaha mencari alternatif yang lebih mampu milik, nama Calvert-Lewin kini muncul sebagai salah satu opsyen untuk menyelesaikan masalah bahagian serangan Man United.
Menurut Romano dalam laporan terkininya di saluran YouTube, walaupun Manchester United belum memulakan sebarang rundingan rasmi dengan Calvert-Lewin, pihak kelab telah dimaklumkan mengenai potensi kos keseluruhan untuk membawa masuk penyerang itu.
Perkara itu termasuk gaji, komisen ejen serta keinginan peribadi pemain yang dikatakan amat berminat menyertai pasukan bimbingan Ruben Amorim.
“Apa yang berlaku dengan Calvert-Lewin ialah pemain itu telah ditawarkan kepada Manchester United. Ia bukan bermaksud United telah memulakan rundingan rasmi, tetapi ini adalah peluang perpindahan percuma bagi pemain yang sudah biasa dengan liga dan boleh membantu mana-mana kelab.
“Calvert-Lewin sangat terbuka dan teruja untuk menyertai United sekiranya peluang itu muncul pada musim panas ini. Tetapi setakat ini, rundingan konkrit masih belum berlaku," katanya.
Gyokeres difahamkan akan menyertai Arsenal pada musim ini. — Agensi
Calvert-Lewin membawa bersama pengalaman luas dalam saingan Liga Perdana dengan 239 penampilan, 57 gol dan 18 bantuan jaringan sepanjang kariernya.
Pada musim lalu, dua beraksi dalam 26 perlawanan liga untuk Everton, dengan tiga gol dan dua bantuan jaringan, termasuk 19 kali diturunkan dalam kesebelasan utama.
Dalam masa sama, Manchester United juga sedang berusaha memperkukuh barisan serangan mereka dengan memfokuskan kepada pemain Brentford, Bryan Mbeumo. Penyerang Cameroon itu difahamkan telah mencapai persetujuan peribadi dan kini menanti kata putus dari rundingan kelab.
Perkembangan itu menunjukkan United sedang menilai pelbagai pilihan dalam memperkuat jentera serangan mereka, dengan Calvert-Lewin menjadi antara calon utama jika rundingan rasmi berjaya dimulakan dalam masa terdekat.