
KEJUTAN disaksikan dalam saingan Piala Dunia Kelab FIFA 2025 apabila gergasi bola sepak England, Manchester City ditundukkan kelab Arab Saudi, Al-Hilal dalam pertemuan peringkat 16 pasukan.
Meskipun umum mengetahui wakil Timur Tengah berkenaan sudah berbelanja besar kebelakangan ini, penyingkiran skuad kendalian The Cityzens tersebut masih menjadi bualan ramai.
Ini kerana pasukan bimbingan Pep Guardiola itu memiliki kualiti tersendiri selepas bermusim-musim mendominasi Liga Perdana Inggeris (EPL) selain pernah menjuarai Liga Juara-Juara UEFA (UCL) 2023.
BACA LAGI: Gagal raih trofi musim ini, Al-Nassr sedia beli penyerang Liverpool ganti Cristiano Ronaldo
BACA LAGI: Kontrak Arab Saudi dah nak habis, Cristiano Ronaldo idam pulang ke Real Madrid
Pemain Al-Hilal meraikan kejayaan selepas menumpaskan Manchester City untuk mara ke suku akhir Piala Dunia FIFA 2025. — Agensi
Kemenangan Al-Hilal tersebut turut menceritakan mutu bola sepak di Asia sudah tidak jauh berbanding Eropah dengan pentas Piala Dunia Kelab FIFA menjadi bukti terbaik.
Bagaimanapun, ramai tidak menyedari bahawa perkara itu sudah diramal legenda dunia, Cristiano Ronaldo yang pernah menjangkakan bola sepak di Arab Saudi akan bangkit setara liga bertaraf antarabangsa.
Dalam satu sesi media selepas perlawanan dua tahun lalu, kapten skuad antarabangsa Portugal itu menyatakan liga Timur Tengah tersebut mampu berada dalam kelompok lima teratas.
"Liga Arab Saudi sedang menjadi lebih baik, tahun depan ia akan semakin sempurna. Langkah demi langkah, liga ini akan menjadi salah sebuah liga terbaik dalam dunia," katanya.
Pandangan pemenang Anugerah Ballon d'Or itu sebelum ini diperkecilkan kerana masing-masing beranggapan kenyataan dikeluarkan itu bersifat berat sebelah kerana Cristiano Ronaldo sedang beraksi buat Al-Nassr yang berada di Arab Saudi.
Namun, kejayaan Al-Hilal menundukkan Manchester City itu membuktikan apa yang dinyatakan mampu menjadi realiti sekiranya pelaburan dari segi wang dan masa terus diberikan.
Keputusan mengejutkan sedemikian turut disaksikan di peringkat kumpulan apabila juara Liga Pro Arab Saudi itu mengikat Real Madrid yang menjadi petanda awal akan kebolehan skuad kendalian Simone Inzaghi itu.
Selepas ini, juara Liga Juara-Juara AFC (ACL) empat kali itu akan bertemu wakil Brazil, Fluminense di pentas suku akhir dengan Al-Hilal dilihat tidak mustahil untuk melangkah lebih jauh. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram