
BEKAS kapten Manchester United, Gary Neville melontarkan kritikan pedas terhadap empat penyerang kelab itu yang menurutnya gagal memenuhi piawaian kualiti yang diperlukan untuk bersaing di peringkat tertinggi Liga Perdana Inggeris (EPL).
Dalam satu siaran di Sky Sports selepas perlawanan seri tanpa jaringan menentang Manchester City, Neville menyatakan rasa kecewanya terhadap prestasi barisan serangan Red Devils di bawah kendalian Ruben Amorim.
“Pemain di bahagian serangan tidak mempunyai kualiti yang diperlukan oleh kelab. Ia kedengaran agak keras, tetapi itulah kebenarannya,” kata Neville.
BACA LAGI: The Gunners bentang pelan hebat, Man United gigit jari, terlepas khidmat Gyokeres
BACA LAGI: Mustahil Man United juarai EPL musim depan — Amorim
Man United kini dilaporkan berada di landasan menuju penamat terburuk dalam sejarah mereka di EPL dengan serangan yang dilabel tumpul. Penyerang utama, Rasmus Hojlund dan Joshua Zirkzee hanya mampu menghasilkan 14 gol secara keseluruhan dalam semua pertandingan musim ini.
Keadaan itu memaksa Amorim mengambil langkah drastik dan eksperimental dengan meletakkan pemain seperti Harry Maguire dan Kobbie Mainoo di posisi serangan meskipun kedua-duanya bukan penyerang tulen.
Selain itu, Neville turut menyentuh mengenai kegagalan Man United dalam urusan perpindahan pemain serta keputusan melepaskan beberapa bintang muda yang kini menikmati kejayaan di kelab lain.
Bekas kapten Manchester United, Gary Neville. — Agensi
“Anda boleh menurunkan empat pemain yang tidak berada di Manchester United lagi. Elanga, Rashford, Welbeck dan McTominay. Mereka akan bermain jauh lebih baik daripada pemain yang ada sekarang,” katanya lagi.
Keempat-empat bekas pemain yang disebut pundit berusia 50 tahun itu merupakan produk akademi United dan telah menunjukkan prestasi memberangsangkan di kelab baharu masing-masing.
Anthony Elanga, yang menyertai pasukan tiga teratas, Nottingham Forest pada musim panas lalu, telah mencetak enam gol dan sembilan bantuan jaringan di bawah kendalian Nuno Espirito Santo.
Marcus Rashford, kini dipinjamkan ke Aston Villa sejak Januari, menyumbang tiga gol dan empat bantuan dalam 12 perlawanan.
Hojlund dan Zirkzee setakat ini hanya menghasilkan 14 gol secara keseluruhan dalam semua pertandingan. — Agensi
Danny Welbeck pula menyerlah bersama Brighton, dengan penglibatan dalam 13 gol daripada 30 penampilan. Manakala Scott McTominay, yang berpindah ke Napoli, telah terlibat dalam 11 jaringan dalam 28 aksi Serie A.
Melihat kepada statistik tersebut, jelas bahawa bekas pemain United beraksi lebih cemerlang berbanding pilihan semasa yang dibarisi Hojlund dan Zirkzee.
Hal ini mencetuskan persoalan besar mengenai strategi perpindahan dan taktikal pasukan yang memerlukan penambahbaikan drastik menjelang musim akan datang. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram