
BEBERAPA pemain muda tempatan mula mencuri tumpuan apabila tampil cemerlang dalam aksi pramusim menjelang sepak mula Liga Malaysia (Liga M) musim 2025/26 yang dijadual berlangsung pada Ogos.
Aksi meyakinkan dan ketajaman di depan gol ketika perlawanan pramusim jelas membuka peluang besar buat mereka untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan masing-masing.
Jika dilihat dengan lebih menyeluruh, peningkatan kualiti pemain muda ketika ini menunjukkan pelaburan dalam akademi dan liga pembangunan mula membuahkan hasil dalam lanskap bola sepak tempatan.
BACA LAGI: [VIDEO] JDT, KL City nyaris jadi mangsa amukan Buriram tapi Sabah, Kelantan lebih bernasib malang
BACA LAGI: Tiada aksi Piala Shopee, Sabah FC miliki peluang uji taring lawan Buriram United
Jika diberi minit permainan mencukupi, tidak mengejutkan jika sebahagian daripada pemain muda boleh menjadi tonggak utama dalam masa terdekat, sekali gus mengenepikan bakat bintang import.
Dengan Liga Malaysia bakal membuka tirai kira-kira dua minggu lagi, tumpuan pasti akan terus diberikan kepada barisan pemain muda ini untuk melihat sejauh mana mereka mampu mengekalkan prestasi cemerlang dan bersaing di pentas tertinggi bola sepak.
Berdasarkan aksi pramusim yang sudah dijalankan beberapa pasukan Liga Super, kali ini Majoriti menyenaraikan tiga pemain muda sesuai menjadi sorotan untuk kempen Liga M 2025/2026.
1) Harry Danish
Penyerang sayap muda Selangor FC, Harry Danish mencuri tumpuan selepas meledak dua gol penting dalam aksi pramusim pasukan Gergasi Merah yang berlangsung di bumi Thailand baru-baru ini.
Gol tunggal Harry pada perlawanan menentang Burapha United FC apabila ia berhasil membawa kemenangan 1-0 kepada Gergasi Merah, sekaligus menonjolkan ketajamannya di depan gol.
Sebelumnya, Harry sudah mencatat nama sebagai penjaring ketika Selangor menewaskan Bangkok FC 3-1.
Dua gol tambahan oleh Willian Lira dan Faisal Halim melengkapkan kemenangan meyakinkan Gergasi Merah dalam perlawanan yang penuh aksi menarik itu.
Peningkatan yang sangat baik dari pemain berusia 21 tahun berkenaan mampu memberikan impak besar dalam setiap perlawanan dan tidak terkejut jika Harry berjaya merebut tempat pemain senior.
Berdasarkan skuad semasa Selangor, Harry boleh mencabar kedudukan Alvin Fortes sebagai penyerang sayap kanan. Ia merupakan satu saingan yang sihat untuk pemain merebut tempat bagi kesebelasan utama.
2) Khalaif Naskam
Penyerang muda Terengganu FC (TFC), Khalaif Naskam terus menunjukkan kebangkitan hebat apabila mencetak satu gol penting membantu pasukannya menewaskan Penang FC 3-1 dalam perlawanan pramusim baru-baru ini.
Selain jaringan Khalaif, dua lagi gol Terengganu dijaringkan oleh Safwan Mazlan dan import baharu iaitu Yann Mabella yang masing-masing tampil cemerlang sepanjang perlawanan tersebut.
Prestasi mantap Khalaif dalam perlawanan ini bukan sahaja menguatkan peluangnya untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama, malah menambah keyakinan penyokong Terengganu terhadap kemampuan barisan muda pasukan itu.
Pemain dari skuad simpanan TFC II itu pernah mengejutkan bola sepak tanah air apabila membolosi gawang gol Johor Darul Ta'zim (JDT) ketika mewakili Kelantan FC dengan keputusan 1-5 pada kempen 2023.
Selepas Kelantan hilang daripada saingan Liga Malaysia pada kempen 2024, bakat Khalaif disedari Terengganu FC II dan kemungkinan akan mewakili skuad Sang Penyu untuk kempen 2025/26.
3) Azhad Harraz
Penyerang muda Sabah FC, Azhad Harraz tetap mencuri perhatian walaupun pasukannya tewas besar 2-8 kepada kelab gergasi Thailand, Buriram United dalam aksi pramusim yang berlangsung baru-baru ini.
Pemain berusia 21 tahun berkenaan berjaya menjaringkan satu gol hasil penyudah kemas di babak kedua perlawanan, manakala satu lagi gol Sabah disumbangkan oleh pemain tengah kebangsaan, Stuart Wilkin.
Meskipun keputusan tidak memihak kepada Sang Badak, jaringan Azhad sekurang kurangnya menjadi sinar dalam malam yang sukar buat skuad kendalian Martin Stano susulan karakter dan keyakinan yang tinggi di atas padang.
Azhad yang pernah mewakili skuad kebangsaan bawah 23 tahun, dilihat berpotensi besar untuk memainkan peranan lebih penting dalam skuad utama musim ini, terutama dengan jadual padat Liga M 2025/26..
Anak jati Sabah yabg sudah menyarung jersi Sabah sejak musim 2023 itu masih belum membuktikan nilainya pada kempen lepas apabila tidak mencetak sebarang gol dalam 10 perlawanan diturunkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram