Lee Tuck kembali warnai bola sepak Asia, sertai legenda Jepun berdepan Selangor


  • Podium
  • Khamis, 17 Jul 2025

Skuad Sang Kenari merupakan kelab terakhir diwakili Lee Tuck sebelum memilih untuk pulang ke England.

SEHINGGA hari ini, keputusan mengejut Lee Tuck untuk meninggalkan arena bola sepak pada Julai 2023 masih sukar difahami kerana pemain tersebut berada dalam tahap terbaik ketika langkah itu diambil.

Pada awalnya, ramai menjangkakan bintang naturalisasi negara itu hanya kembali ke England dan menyertai mana-mana pasukan di negara berkenaan selepas lebih lima tahun dalam Liga Malaysia.

Namun, tanpa sebarang pengumuman, bekas tonggak Sri Pahang FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC itu rupanya memilih untuk menggantung but dan menceburi bidang hartanah selain menyertai beberapa pertandingan kecergasan.

BACA LAGI: [VIDEO] Lee Tuck pertahan gelaran Kejohanan Hyrox, pastikan Jalur Gemilang berkibar di Singapura

BACA LAGI: Video Messi, Dani Alves bikin Lee Tuck ‘throwback’ momen bersama TFC

Lee Tuck kelihatan cukup teruja untuk beraksi bersama Asia Warrios FC.

Meskipun keputusan tersebut menimbulkan teka-teki tanpa sebarang jawapan, ramai masih merestui langkah diambil Lee Tuck kerana secara tidak langsung, nama negara terus mekar.

Tetapi, kerinduan peminat bola sepak tempatan untuk menonton aksi pemain tersebut semakin hampir terubat apabila dia difahamkan bakal menyertai sebuah perlawanan persahabatan dalam masa terdekat.

Dalam hantaran di InstaStory peribadinya, Lee Tuck kelihatan sedang dalam perjalanan untuk terlibat dalam aksi pramusim anjuran Asia Warriors FC seperti mana pernah diumumkan sebelum ini.

"Bersedia untuk berlepas, saya akan kembali ke Asia untuk beraksi sekali lagi," tulisnya dengan menyertakan sekeping foto di lapangan terbang yang tidak dipastikan lokasi sebenarnya.

Lee Tuck akan menyertai barisan legenda yang akan berentap di Stadium MBPJ pada 27 Julai depan.

Dalam hantaran seterusnya, pemain tersebut berkongsi bahawa dia sudah tiba di Emiriah Arab Bersatu, namun negara tersebut bukanlah destinasinya kerana sebuah kapsyen 'Penerbangan pertama selesai' disertakan.

Jadi, berdasarkan dua perkongsian tersebut, jelas mengatakan Lee Tuck akan turut berada dalam Asia Warriors FC di samping beberapa figura bola sepak ternama sekitar Asia.

Ini termasuk legenda bola sepak Jepun, Keisuke Honda yang merupakan antara pencetus di sebalik pasukan terbabit serta pelbagai bintang tempatan lain seperti Razman Roslan dan Indra Putra Mahayuddin.

Selain itu, pasukan berkenaan disertai beberapa bekas import Liga Super seperti Baihakki Kaizan yang pernah bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) dan pemain kebangsaan Filipina, Omid Nazari yang berpengalaman bersama Terengganu FC.

Pasukan tersebut akan berdepan Selangor FC pada 27 Julai depan dengan perlawanan terbabit merupakan persediaan terakhir skuad Gergasi Merah sebelum permulaan musim 2025/26 pada 8 Ogos. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram