
ERA baharu menanti Negeri Sembilan FC apabila mereka melantik Nidzam Jamil sebagai pengendali baharu kelab itu pada Jumaat.
Pengumuman itu pastinya akan membuatkan skuad Jang bakal mengharungi perjalanan mengujakan pada musim depan dengan Nidzam sendiri tampil sebagai jurulatih muda berpotensi.
Beberapa tugas penting bakal menantinya dalam memastikan Negeri Sembilan tidak lagi berada di kelompok bawahan Liga Super.
BACA LAGI: Malaysia berpotensi jadi saksi Indonesia ke Piala Dunia, Bukit Jalil dijangka terpilih
BACA LAGI: 'Masa untuk bangkit', pemain tempatan perlu bersedia ke luar negara demi karier
Membaiki kedudukan liga
Ia merupakan tugas ketara yang perlu diselesaikan oleh Nidzam pada musim depan dan semestinya ia adalah salah satu daripada penunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan pengurusan terhadapnya.
Musim lalu, Negeri Sembilan berdepan detik penuh sukar apabila kedua tercorot liga dengan hanya mampu mengutip 16 mata hasil empat kemenangan, empat seri dan 16 kekalahan.
Negeri Sembilan menduduki tempat kedua tercorot dalam Liga Super musim lalu.
Sudah pasti, Nidzam diarahkan untuk membaiki kedudukan tersebut dengan menjadikan Negeri Sembilan sebagai 10 kelab terbaik atau menduduki top half Liga Super iaitu posisi ketujuh ke atas.
Cabaran Nidzam di Negeri Sembilan bermula di sini, jika dia berjaya melakukannya sudah pasti dia berjaya membuktikan kemampuannya.
Membina taktikal di sekeliling Sasaki
Musim lalu, Negeri Sembilan berjaya mendapatkan pemain tengah menyerang berpotensi dari Jepun iaitu Takumi Sasaki.
Merupakan pemenangan J3.League bersama Ehime FC sebelum berpindah ke Negeri Sembilan, Sasaki nyata tidak mengecewakan apabila menonjolkan kualiti permainan berkualiti.
Sasaki (kiri) merupakan watak utama Negeri Sembilan.
Namun begitu, Sasaki memerlukan rakan sepasukan dan taktikal yang lebih baik untuk membolehkan persembahannya meningkat sekali gus menguntungkan Negeri Sembilan.
Di situ, ia menjadi tugas Nidzam untuk meningkatkan prestasi perancang utamanya itu supaya skuad Jang lebih garang musim depan.
Menajamkan kembali Luqman Hakim
Satu lagi tugas penting menanti Nidzam adalah untuk meningkatkan semula prestasi penyerang negara, Luqman Hakim.
Pemain muda yang sudah berkelana di pelbagai negara kembali semula ke Liga Super dengan harapan dapat menemui sentuhan penyudahnya.
Nidzam yang gemar menurunkan pemain muda pasti akan memberikan peluang kepada Luqman untuk menonjolkan aksinya dan pasti dia menjadi tumpuan musim depan.
Malaysia pastinya akan terhutang budi kepada Nidzam dan Negeri Sembilan sekiranya prestasi Luqman kembali tahap yang pernah kita lihat dan dambakan dulu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram