
CABARAN Golf Tan Sri Muhyiddin anjuran Yayasan TSM Charity Golf (TSMCG) kembali lagi untuk edisi ke-14, kali ini menampilkan saingan sengit 50 remaja lelaki dan 35 remaja perempuan.
Kejohanan tersebut bakal berlangsung bermula 16 hingga 19 Jun 2025 di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC), Kuala Lumpur.
BACA LAGI: Lepas sambar Aguero dan bek Filipina, pencabar baharu wajar rekrut 3 bintang Asean All Star
Cabaran Golf TSM diiktiraf sebagai antara kejohanan golf amatur yang paling berprestij di Malaysia.
Dengan tema “In Search of the Malaysian Tiger”, kejohanan itu bertujuan mencari dan melahirkan bakat golf muda negara.
Seramai 85 pemain bawah 21 tahun akan menyertai kejohanan tersebut dan akan bertanding dalam acara yang diiktiraf oleh Persatuan Golf Malaysia (MGA) serta termasuk dalam World Amateur Golf Ranking (WAGR).
Sebagai galakan, biasiswa bernilai RM133,000 akan diberikan kepada 10 pemain terbaik dalam kategori lelaki dan perempuan menjadikan kejohanan itu antara yang paling lumayan di Asia untuk kategori junior.
Presiden TSMCGF, Datuk Mustapha Buang berkata, penganjuran edisi kali ini mencerminkan komitmen berterusan pihak yayasan untuk terus menyokong program pembangunan belia khususnya pendidikan.
“Acara ini lebih daripada sekadar kejohanan golf bahkan merupakan sebahagian daripada gerakan kebangsaan untuk memperkasa belia negara.
“Kami beriltizam untuk mencipta impak yang berpanjangan dengan melabur di dalam pembangunan belia Malaysia. Tahun ini, kami kembali dengan platform yang lebih kukuh dan inklusif, yang mengukuhkan lagi misi teras kami,” katanya.
Menariknya, juara bertahan, Mirabel Ting akan kembali mempertahankan gelarannya. Dia kini pemain nombor dua dunia dalam ranking WAGR dan pemenang Anugerah ANNIKA.
Dengan purata pukulan 68.77 musim ini, Mirabel mencatat sejarah sebagai pemain wanita terbaik dalam golf kolej Amerika Syarikat.
TSMCGF telah menaja ramai pelajar melanjutkan pelajaran ke luar negara dan terus melabur dalam pembangunan belia melalui sukan.
Setiap tahun, TSMCGF berjaya mengumpul ratusan ribu ringgit untuk membantu program pendidikan dan belia menjadikan sukan sebagai jalan untuk masa depan yang lebih cerah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram