
TIADA angin, tiada ribut seorang pemain golf wanita meluahkan rasa kecewa dan berasa didiskriminasi apabila dia tidak dibenarkan untuk bermain golf di sebuah kelab golf di Bukit Rotan, Kuala Selangor, Selangor kerana pemakaiannya.
Wanita yang memuat naik luahan di platform TikTok menggunakan nama Maryamishakgolf itu mempersoalkan tindakan kelab golf itu apabila melarang dia bermain hanya disebabkan memakai skirt panjang.
Menurut Maryamishakgolf, dia sepatutnya tee off pukul 8.30 pagi, namun tidak dibenarkan bermain disebabkan pakaiannya itu.
BACA LAGI: Olimpik antara tujuan, 2 bintang golf wanita mampu bawa nama Malaysia di pentas dunia — Deborah Wong
Tindakan kakitangan kelab golf berkenaan disifatkan sebagai tidak masuk akal dengan wanita itu menjelaskan bahawa tiada sebarang peraturan dalam buku kelab yang menyatakan pemakaian skirt panjang tidak dibenarkan.
"Pada ukul 8.30 tapi saya tak dibenarkan bermain kerana saya pakai long skirt. Which is sangat-sangat saya rasa saya dimalukan, didiskriminasikan. Saya tak faham kenapa sebab sebelum ni saya banyak kali main pakai long skirt tak ada masalah.
"And even dekat dalam buku rules ni tak ada pun tulis yang long skirt is not allowed. Tak ada. Tapi saya tidak dibenarkan unless saya tukar baju, tukar seluar, baru saya boleh continue main," luahnya.
Maryamishakgolf turut menyatakan bahawa dia membawa dua orang rakannya dari Seremban untuk bermain golf bersama, namun mereka membatalkan permainan kerana dia tidak dibenarkan meneruskan permainan.
"Kita sepatutnya tee off dua hari ni tapi semua tak jadi main sebab saya tak boleh main. Mereka tak sampai hati nak main sebab saya tak dapat main. Saya tak tahu apa masalah pakai long skirt dengan orang lain.
“Saya jaga penampilan supaya tidak menyakitkan mata orang lain. Saya boleh berlari dan berlompat dengan long skirt ini tanpa mengganggu sesiapa. Saya tidak faham mengapa saya tidak dibenarkan bermain di kelab sendiri,” katanya lagi yang merujuk bahawa dia merupakan ahli kelab itu.
Dalam video tersebut, Maryamishakgolf memohon pendapat orang ramai tentang isu yang dihadapinya dan menganggap tindakan kelab itu tidak adil serta seolah-olah mendiskriminasi dirinya.
Majoriti sedang mendapatkan respons daripada pihak kelab golf di Lembah Klang berkenaan berhubung isu berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram