
SEMPENA sambutan ulang tahun ke-25 penubuhan Waqaf An-Nur Corporation Berhad (Waqaf An-Nur), Kejohanan Golf Amal Klinik Waqaf An-Nur (KWAN) 2025 telah dianjurkan di Kelab Golf The Mines, Seri Kembangan, Selangor pada Sabtu.
Memetik kenyataan dikeluarkan organsisasi itu baru-baru ini, kejohanan itu dianjurkan sebagai inisiatif strategik mengumpul dana bagi menyokong operasi lebih 20 rangkaian Klinik Waqaf An-Nur di seluruh negara.
Kejohanan yang kembali dianjurkan selepas kali terakhir diadakan pada 2023 itu menjadi simbol kepada perjalanan lebih dua dekad Waqaf An-Nur dalam memperkasa perkhidmatan wakaf kesihatan dan kebajikan ummah.
BACA LAGI: 'Peraturan tetap peraturan', kelab golf respons dakwaan wanita jadi mangsa diskriminasi
“KPJ Healthcare Berhad muncul sebagai penaja utama berjumlah RM200,000 diikuti Johor Corporation dan Larkin Sentral Property Berhad, masing-masing RM50,000 selain penglibatan 10 syarikat lagi.
“Sebanyak RM588,877 dana berjaya dikumpul dan ia akan disalurkan kepada dana KWAN yang memfokuskan kepada pembiayaan rawatan dialisis untuk pesakit-pesakit kurang berkemampuan,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain menjadi platform pengumpulan dana, kejohanan berkenaan juga memperlihatkan pelaksanaan komitmen Waqaf An-Nur terhadap prinsip Environmental, Social & Governance (ESG).
Tambahnya, ia memperkukuh jaringan kerjasama strategik antara sektor korporat, agensi kerajaan dan komuniti serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap peranan institusi wakaf sebagai pemacu kesejahteraan sosial dan kesihatan ummah.
“Selain itu kita juga telah melancarkan perkhidmatan Klinik Bergerak Waqaf An-Nur di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru pada 17 Jun lalu sebagai sebahagian daripada komitmen dalam memperluas akses perkhidmatan kesihatan berasaskan waqaf,” katanya.
Ujar KWAN, klinik itu beroperasi selama empat jam bermula pukul 8 malam setiap Rabu hingga Ahad di HSA untuk perkhidmatan kes ringan, pemberian ubat-ubatan asas serta pengeluaran sijil cuti sakit. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram