
SEORANG pemain golf amatur pada Jumaat berasakan dirinya menjadi mangsa diskriminasi apabila keputusannya memakai skirt panjang ketika bermain di Kelab Golf Diraja Kampung Kuantan, Pahang.
Pendedahan itu dibuat menerusi akaun TikTok Maryamishakgolf dengan menyatakan pihak pengurusan bertindak melarangnya daripada meneruskan permainan disebabkan pemakaiannya tersebut.
Tindakan berkenaan dianggap tidak relevan dan tidak masuk akal sambil menyatakan tiada sebarang peraturan ditetapkan berhubung pemakaian skirt panjang ketika sedang bermain.
BACA LAGI: WCGC Malaysia makin sengit, 124 bakat golf korporat buru slot wakil negara ke China
Mengulas akan perkara itu, Majoriti menghubungi pihak pengurusan untuk mendapatkan ulasan, namun wakil daripada kelab golf itu enggan memberi ulasan lanjut.
"Jika kod pemakaian adalah sebegitu, anda perlu mematuhi peraturan sedemikian kerana setiap kelab golf mempunyai kod pemakaian tersendiri," kata ringkas kepada Majoriti.
Jelasnya, peraturan sedemikian sudah ditetapkan dalam kelab golf sekitar negara seperti kod pemakaian yang menghalang seseorang daripada memakai seluar pendek ketika bermain.
Secara umumnya, kod pemakaian asas bagi pemain golf adalah baju-t berkolar, seluar pendek atau panjang serta kasut khas seperti mana kerap dilihat dalam sukan berkenaan.
Bagaimanapun, peraturan berbeza masih boleh ditetapkan bagi sesetengah kelab kerana pihak pengurusan mempunyai kuasa untuk menetapkan pemakaian sesuai bagi pemain.
Melihat kepada video TikTok dikongsikan Maryamishakgolf di akaun peribadinya, pemakaian dipilihnya adalah sopan dan tidak mengganggu permainannya, penetapan pihak Kelab Golf Diraja Kampung Kuantan mengundang rasa tidak puas hati. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram