
BEBERAPA kelab tempatan menunjukkan prestasi membimbangkan apabila gagal mengatasi pasukan dari liga bawahan, sekali gus menimbulkan kerisauan menjelang saingan Liga Malaysia musim 2025/2026.
Keputusan kurang memberangsangkan itu jelas bukan petanda baik, apatah lagi kelab-kelab tersebut membawa nama besar dalam kancah bola sepak tanah air.
Sepatutnya, kelab berkenaan sekurang-kurangnya mampu meraih kemenangan ketika berdepan pasukan yang dianggap kurang kuat.
BACA LAGI: Pastikan lawan berkualiti di Pestabola Merdeka, bukan sekadar ranking lebih rendah
Situasi itu memberi amaran awal bahawa persaingan musim depan bakal lebih sengit, terutamanya dengan kemasukan dua pendatang baharu, Brunei DPMM FC dan Imigresen FC, yang pastinya akan menambah cabaran kepada kelab sedia ada.
Susulan prestasi hambar tersebut, tiga kelab tempatan dilihat gagal memanfaatkan peluang menentang pasukan dari divisyen kedua, menambah tekanan bagi mereka untuk memperbaiki mutu permainan sebelum liga bermula.
1. JDT vs Levante UD
Kelab gergasi tanah air, Johor Darul Ta'zim (JDT), gagal meraih kemenangan dan menjaringkan gol dalam perlawanan persahabatan pramusim menentang Levante UD, kelab yang beraksi di divisyen kedua Liga Sepanyol.
Skuad Harimau Selatan yang memilih Sepanyol sebagai lokasi aksi pramusim itu tidak mampu menundukkan lawan walaupun menurunkan barisan pemain berpengalaman seperti Arif Aiman Hanapi, Hector Hevel, Jon Irazabal, Joao Figueiredo, Nacho Mendez serta penjaga gol Andoni Zubiaurre.
Pemain sayap Harimau Malaya, Arif Aiman (kanan) diberi tugas besar bagi memimpin kesebelasan utama JDT dalam aksi bertemu Levante UD. — Facebook/JST
Perlawanan tersebut berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan, sekali gus menandakan JDT gagal memanfaatkan peluang menguji kekuatan menentang kelab dari liga bawahan Eropah.
Dengan prestasi kurang memberangsangkan itu, JDT dianggap antara pasukan yang tidak berhasil menewaskan wakil divisyen dua dalam siri perlawanan persahabatan pramusim mereka.
2. Selangor vs Chonburi FC
Naib juara Liga Super, Selangor FC menghadapi cabaran getir apabila tewas 1-2 kepada wakil Liga 2 Thailand, Chonburi FC dalam perlawanan persahabatan pramusim yang berlangsung di Thailand baru-baru ini.
Chonburi FC sepatutnya menjadi lawan yang mudah bagi Gergasi Merah, namun Selangor gagal memanfaatkan peluang tersebut sekaligus mempamerkan persembahan yang kurang memberangsangkan.
Gol pembukaan Chonburi dijaringkan melalui sepakan penalti yang disempurnakan bekas penyerang Terengganu FC, Adisak Kraisorn.
Selangor FC masih sukar mencatat kemenangan ke atas Chonburi, wakil divisyen 2 Thailand. — Facebook/Selangorfc
Gol kemenangan tuan rumah kemudian disempurnakan oleh penyerang muda Thailand, Tontowan Puntamunee dan jaringan sagu hati Gergasi Merah dicetak oleh bekas penyerang penggempur Kedah Darul Aman FC, Willian Lira.
Kekalahan itu menjadi amaran awal kepada Selangor FC agar memperbaiki persembahan mereka menjelang pembukaan saingan liga tempatan musim hadapan.
3. Terengganu FC vs UM Damansara United
Terengganu FC dilihat kurang menampilkan prestasi sebenar apabila hanya mampu seri 1-1 menentang wakil divisyen dua, UM Damansara United dalam aksi persahabatan yang berlangsung di UM Arena, Kuala Lumpur pada Rabu.
Keputusan itu mencetuskan reaksi kurang puas hati dalam kalangan penyokong Sang Penyu, yang berpendapat skuad Peteh seharusnya mampu menundukkan pasukan dari liga bawahan tersebut.
Sang Penyu dikritik penyokong selepas gagal menang lawan wakil divisyen 2, UM Damansara United. — Facebook/TFC
Walaupun Terengganu memiliki barisan pemain import berkualiti seperti Junior Ngong Sam, yang juga menjaringkan gol untuk pasukan, prestasi keseluruhan mereka masih belum mencapai tahap yang diharapkan.
Keputusan seri itu menjadi tanda amaran awal menjelang saingan Liga Super yang dijangka lebih sengit musim depan, sekali gus menuntut peningkatan mutu persembahan dari pihak Terengganu FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram