Di sebalik cemerlangnya bintang Selangor, 3 pemain Harimau Muda termasuk tonggak JDT, TFC tampil prestasi hambar


  • Podium
  • Khamis, 17 Jul 2025

Malaysia memilih jalan sukar dalam saingan Piala Mandiri B-23 Asean 2025 apabila tewas 0-2 kepada Filipina. — Facebook/Malaysia NT

MALAYSIA menghadapi cabaran getir dalam saingan Piala Mandiri Bawah-23 Asean 2025 selepas tewas 0-2 kepada Filipina pada perlawanan pembukaan Kumpulan A pada Selasa.

Dalam pertemuan yang berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, Indonesia itu, anak-anak buah Nafuzi Zain memasang harapan untuk meraih tiga mata pertama sekali gus memudahkan laluan ke peringkat seterusnya.

Namun, usaha itu tidak kesampaian apabila jentera serangan tanah air gagal menembusi benteng pertahanan Filipina, sementara beberapa kesilapan pertahanan memberi kelebihan kepada lawan.

BACA LAGI: [VIDEO] JDT, KL City nyaris jadi mangsa amukan Buriram tapi Sabah, Kelantan lebih bernasib malang

BACA LAGI: Jang Hobin tak main-main, Luqman Hakim antara 3 bintang menyerlah lepas calar ego Kelantan RW

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia wajib mencatat kemenangan ke atas Brunei pada Jumaat serta menewaskan tuan rumah, Indonesia pada 21 Julai untuk menempah slot ke pusingan seterusnya.

Walaupun begitu, bintang Selangor FC, Aliff Izwan Yuslan berjaya mencuri tumpuan penyokong tempatan dengan persembahan cemerlangnya yang hampir menghasilkan jaringan, tetapi percubaan beliau diselamatkan penjaga gol Filipina, Nicholas Guimaraes.

Di sebalik kehadiran Aliff menghidupkan jentera serangan Harimau Muda, terdapat tiga pemain yang sebelum ini dipuji tampil mengecewakan dengan prestasi kurang memuaskan sepanjang perlawanan tersebut. 

Kegagalan Malaysia B-23 meraih kemenangan turut menyaksikan kecaman hebat terhadap beberapa pemain utama berkenaan yang dianggap gagal menunaikan harapan.

Penyerang Sabah FC, Fergus Tierney gagal mencetak sebarang gol buat skuad Harimau Muda. — Facebook/Malaysia NT

1. Fergus Tierney

Penyerang baharu Sabah FC, Fergus Tierney menerima kecaman hebat daripada penyokong tempatan susulan prestasi kurang memberangsangkan bersama Harimau Muda.

Bekas penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT) itu sebelum ini diharap mampu menyuntik kekuatan kepada barisan serangan skuad Harimau Muda.

Namun, persembahan bekas pemain pinjaman Nakhon Pathom United itu mengecewakan apabila gagal memanfaatkan peluang terbaik pada minit ke-60 untuk menghasilkan jaringan.

Untuk rekod, Fergus sebelum ini pernah muncul wira buat Malaysia selepas mencetak gol penyamaan dalam mengikat Kemboja 2-2 dalam aksi Kumpulan A Piala Asean di Stadium Olimpik Nasional Phnom Penh, Kemboja Disember lalu.

Bek kental Sang Penyu, Ubaidullah (tengah) gagal menampilkan prestasi cemerlang dalam menjaga benteng pertahanan Harimau Muda. — Facebook/Malaysia NT

2. Ubaidullah Shamsul Fazili

Pertahanan mantap Terengganu FC, Ubaidullah Shamsul Fazili turut menerima kritikan selepas gagal mengekang serangan lawan dengan berkesan.

Sebagai kapten pasukan, Ubaidullah atau dikenali sebagai Ubai tersebut diberi tanggungjawab besar namun kelihatan sukar menahan asakan agresif daripada Filipina.

Kelemahan benteng pertahanan Harimau Muda akhirnya membuka ruang kepada Filipina untuk menjaringkan dua gol, sekali gus menewaskan penjaga gol kebangsaan, Zulhilmi Sharani.

Kualiti Haqimi Azim (kanan) sebagai penyerang kini menerima kecaman daripada penyokong tanah air. — Facebook/Malaysia NT

3. Haqimi Azim Rosli

Tonggak Kuala Lumpur City FC, Haqimi Azim Rosli turut dipertikai ketajamannya sebagai penyerang.

Walaupun berpeluang mencetak gol pada minit ke-19 dengan rembatan deras, usahanya gagal apabila bola hanya menggegar palang gol.

Kualitinya sebagai penyerang menjadi tanda tanya penyokong, terutamanya memandangkan Haqimi sudah berpengalaman bersama skuad senior namun masih belum menunjukkan peningkatan yang baik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram