
MISI besar Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan domestik dan Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite musim depan selepas mereka cukup sibuk sepanjang jendela perpindahan ini.
Selepas mengekalkan rata-rata tonggak pasukan, kelab Selatan tanah air itu turut memperkenalkan lambakan pemain baharu, baik dalam kategori bintang import mahupun warisan.
Aktiviti perpindahan dilakukan setakat ini membuktikan pihak pengurusan sudah memberi skuad terbaik buat pengendali, Xisco Munoz dengan harapan hasil terbaik dapat disaksikan.
BACA LAGI: Sayangnya lambakan bakat Liga Super kini turun pangkat ke Liga A1
BACA LAGI: Dapat banyak tajaan meskipun Liga A1, orang kuat Kedah janjikan lebih kejutan
Enzo merupakan salah seorang pemain yang mungkin diletakkan dalam skuad simpanan Harimau Selatan.
Namun, usaha JDT memantapkan pasukan dilihat berterusan selepas media Argentina, El Editor Platense menimbulkan khabar angin dua lagi pemain akan menjadi milik Harimau Selatan.
Dalam laporan dikeluarkan pada Isnin, juara bertahan Liga Super itu akan membawa masuk rekrut baharu, tetapi kali ini pemain dipilih masih beraksi di peringkat amatur.
"Pemain dalam Liga Amatur Platense memiliki lambakan pemain berpotensi dengan masing-masing masih bercita-cita untuk mencapai tahap profesional kerana peluang dimiliki di mana-mana.
"Itulah yang akan dinikmati adik-beradik Cora, Enzo dan Ibrahim yang disebut akan beraksi dalam Liga Malaysia selepas diberi peluang berbuat demikian dengan mereka akan bermain untuk JDT," tulisnya.
Ibrahim (kiri) dan Enzo dilaporkan akan menjadi milik JDT tidak lama lagi.
Melihat kepada InstaStory milik Enzo, pasangan adik-beradik itu sudah mengucapkan selamat tinggal kepada negara kelahirannya, namun tidak berkongsi destinasi dipilih mereka.
Cuma pada masa sama, beberapa laporan media Argentina lain membuktikan kedua-dua mereka semakin hampir beraksi dalam Liga Malaysia musim depan yang pastinya sukar ditolak.
Lambakan import lain dalam skuad Harimau Selatan semestinya menyaksikan Enzo dan Ibrahim hanya akan diletakkan dalam pasukan simpanan yang bakal berentap di Liga A1 Semi Pro 2025/26.
Tetapi, peluang berlatih dalam fasiliti serba lengkap milik JDT dijangka mampu membawa perubahan besar kepada adik-beradik itu yang sebelum ini hanya beraksi di peringkat amatur. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram