
PENYERANG baharu DPMM FC, Ramadhan Sananta menyifatkan pemain-pemain bintang yang ada di Liga Malaysia (Liga M) menarik minatnya untuk sertai kelab daripada Brunei Darussalam musim ini.
Ramadhan antara bintang Indonesia memilih untuk hadir ke Liga M buat kali pertama menyertai kelab DPMM FC selain mengakui teruja untuk memulakan saingan berentap dengan kelab-kelab lain bermula Ogos ini.
Bagi penyerang muda berusia 23 tahun ini, dia sedar dengan kualiti yang ada pada barisan pemain kelab-kelab Liga Malaysia seperti Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC dan lain-lain yang membuatkan Ramadhan tidak sabar untuk menguji kemampuannya bersama pesaing lain.
BACA LAGI: Kelab enggan lepas bintang warisan, Harimau Malaya terpaksa tarik diri Piala CAFA 2025
BACA LAGI: Sukar nak ukur pickleball sukan no.1, Adam Adli harap Malaysia lahirkan bintang seperti Nicol David
Baginya, nama seperti Arif Aiman Mohd Hanapi antara pemain yang dilihat sebagai ancaman hebat selain pemain sayap JDT, Moussa Sidibe yang pernah menjadi gandingannya ketika di Persis Solo.
“Dorongan saya untuk datang ke sini sebab saya tahu tentangan yang tinggi antara kelab-kelab yang ada di Liga Malaysia.
“Mereka ada kualiti, dan teknik permainan yang bagus, tambahan pula umur saya masih muda dan saya harus punya kepercayaan diri untuk keluar daripada negara sendiri (Indonesia) dan cuba nasib di Liga Malaysia.
“Saya ingin cuba sesuatu yang baharu di sini dan sebagai penyerang, saya nak bantu kelab ini (DPMM FC) dengan lebih baik.
“Saya tak sabar juga nak jumpa bekas gandingan saya, Moussa (Sidibe) yang sekarang di JDT dan saya tahu juga pemain seperti Arif (Aiman) yang sentiasa disebut-sebut, dan banyak lagi pemain yang bagus-bagus di sini”, katanya.
Ramadhan merupakan pemain baharu DPMM musim ini. — Instagram/Ramadhan
Ramadhan antara pemain bintang di Indonesia dikenali dengan kemampuan menyerangnya yang tajam serta bijak mencari peluang untuk mencetak gol selain kini menjadi antara nadi penting dalam kelab DPMM FC untuk kelab ini menjadi tentangan hebat di pentas Liga Super.
Pemain muda itu mula menjadi sebutan penyokong Indonesia apabila menjadi tonggak skuad bawah 23 tahun menjuarai Sukan SEA 2023 dengan meledak dua gol menewaskan Thailand 5-2 di pentas final.
Malah Ramadhan juga turut menjaringkan gol bersama skuad senior Garuda ketika menewaskan Vietnam 3-0 dalam Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2026. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram