Korek info dari 2 rakan termasuk bintang Persib, tonggak Filipina sedia bantu KL CIty huni top 3 Liga Super


  • Podium
  • Khamis, 17 Jul 2025

Kammeraad turut mengakui dia masih dalam proses menyesuaikan diri dengan suasana baharu di ibu kota Malaysia. — Agensi

TONGGAK kebangsaan Filipina, Quincy Kammeraad muncul sebagai wajah baharu dalam skuad Kuala Lumpur (KL) City FC untuk musim 2025/26 dengan dia bertekad untuk membantu skuad Warga Kota menamatkan saingan di kelompok tiga teratas Liga Super.

Pemain berusia 24 tahun berkenaan bukan asing di bumi Malaysia berikutan sebelum ini dia pernah menjejakkan kaki ke tanah air pada 2021 bersama skuad Filipina bagi persiapan Sukan SEA.

Namun kali ini, Kammeraad kembali dengan misi yang lebih besar iaitu mahu membina kerjaya jangka panjang dengan menjadi penjaga gol utama bersama pasukan berpangkalan di Lembah Klang itu.

BACA LAGI: Majlis ini tak minta dana tapi saya beri RM1 juta untuk KLFA — PM

BACA LAGI: Sasar top 3 Liga Super, Presiden KLFA tunggu bekas penyerang Sabah-tonggak JDT lengkapkan skuad

Kammeraad turut mengakui dia masih dalam proses menyesuaikan diri dengan suasana baharu di ibu kota Malaysia, namun yakin semuanya akan berjalan lancar dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

"Saya rasa KL mempunyai rancangan yang baik untuk saya. Bukan hanya untuk satu musim, tapi untuk bermusim-musim. Mereka beri saya perspektif yang baik terhadap apa yang saya mahukan. Saya dan ejen saya sama-sama rasa ini pilihan yang sesuai.

"Segalanya baru. Negara baru, budaya baru, bandar baru. Tetapi saya suka KL. Saya yakin, setelah semuanya stabil, saya akan dapat memberikan aksi terbaik saya," katanya kepada Majoriti.

Ditanya sama ada dia tertekan untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Kevin Mendoza iaitu bekas penjaga gol utama KL City yang cukup disegani, Kammeraad menyifatkannya sebagai satu cabaran positif.

Selain itu, penjaga gol berketinggian 1.85 meter berkenaan juga berkongsi bahawa bintang Persib Bandung itu merupakan individu yang membantunya mencari info mengenai Kuala Lumpur.

Selain Mendoza, Kammeraad mendedahkan bahawa dia juga mendapatkan pandangan daripada seorang rakan rapat yang cukup berpengaruh iaitu Patrick Reichelt ketika membuat keputusan menyertai KL City.

Reichelt merupakan penyerang skuad Warga Kota pada musim 2023 hingga kempen 2024/2025, dengan pemain berkenaan merupakan rakan sepasukan Kammeraad untuk pasukan kebangsaan Filipina.

"Sebenarnya, saya telah bercakap dengan Kevin pada bulan Jun. Tetapi itu ketika saya sudah menandatangani (kontrak dengan KL City). Tetapi ketika KL dekati saya untuk memberi tawaran. saya saya tanya Patrick Reichelt.

"Kami masih bercakap setiap hari. Tetapi kebanyakannya saya tanya mengenai KL dengan Patrick Reichelt. Dia membantu saya menyelesaikan apartemen saya. Beritahu saya tentang kelab, bandar dan orang di sini," kongsinya.

Mendoza yang kini pemain Persib Bandung pernah menyarung jersi KL City pada musim 2021-2023. — Agensi

Dalam pada itu, bekas tonggak One Taguig itu juga menyedari cabaran kompetitif Liga Super, namun yakin dengan kekuatan barisan pemain yang dimiliki skuad Warga Kota pada musim ini.

“Saya rasa tahap permainan di sini lebih tinggi, tempo pun lebih laju berbanding Filipina. Tapi selepas bersama skuad kebangsaan pada Jun, saya sudah biasa dengan tahap ini. Dengan pemain yang kami ada, saya fikir sasaran top 3 sangat realistik," ujarnya.

Sebelum ini, Majoriti melaporkan Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Syed Yazid Syed Omar mengesahkan bahawa sasaran utama pasukan KL City FC untuk musim Liga Super akan datang adalah menamatkan saingan di kedudukan tiga teratas — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram