
WALAUPUN Kedah Darul Aman (KDA) FC sudah tidak beraksi dalam kancah teratas Liga Malaysia semangat serta usaha pasukan di belakang tabir tidak pernah luntur untuk memberikan terbaik dalam saingan Liga A1 Semi Pro.
Sang Kenari gagal mendapatkan Lesen Kebangsaan untuk Liga Super untuk musim 2025/2026 berpunca daripada aspek pematuhan kewangan yang tidak dapat diselesaikan dalam tempoh ditetapkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Perkara itu bagaimanapun tidak mematahkan semangat KDA apabila penyertaan dalam Liga A1 Semi Pro diam-diam membuka lebih banyak pintu rezeki buat pasukan Utara tanah air berkenaan termasuk dari segi penajaan.
BACA LAGI: Gaya 'siuu' naik level Sanusi, aksi YB Badd kena saiko ceriakan fans Kedah
BACA LAGI: Ketiadaan 'tembok', mahu sailang ex-JDT disambar Sabah jadi topik sesi latihan fans Sang Kenari
Perkara itu disuarakan oleh duta pasukan, Mohd Irshad Shafiq yang menzahirkan rasa syukur kerana masih ramai pihak penaja menunjukkan minat untuk menaja KDA FC meskipun berada di liga yang bukan di pentas utama Liga Super.
“Walaupun kita duduk Liga A1, tapi masih ada pihak penaja yang berminat untuk menaja Kedah Darul Aman FC. Kita bukan duduk saja… kita buat sehabis baik untuk pasukan bola sepak negeri Kedah ni,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Menurut Mohd Irshad yang dilantik menjadi duta KDA FC pada saingan lalu itu, dia bersama rakan-rakan lain akan terus komited menggerakkan usaha memantapkan liga dan pasukan untuk musim akan datang.
Tambah pempengaruh yang dikenali sebagai CEO Bieziy itu, penyertaan dalam Liga A1 bukan pengakhiran, tetapi satu permulaan baharu untuk melonjak semula Kedah ke tahap yang lebih tinggi.
“InshaaALLAH. Saya dan kawan-kawan yang lain akan berusaha sehabis baik untuk merancakkan Liga A1 musim depan. Kami bukan duduk saja, kami bekerja keras untuk tarik lagi penaja untuk pasukan kesayangan kita,” tambahnya.
Irshad turut menyeru seluruh penyokong Hijau Kuning agar terus memberikan sokongan tidak berbelah bahagi, kerana beberapa kejutan sedang dirancang demi memastikan Kedah terus bersaing secara kompetitif.
“Kepada penyokong-penyokong bola sepak Kedah Darul Aman FC. Kami akan beri yang terbaik untuk hampa semua, dan akan ada lagi kejutan selepas ini. Kami harap dapat sokongan padu daripada anda semua,” ujarnya.
Pada hantaran berkenaan, Mohd Irshad memuat naik fotonya bersama pemilik majoriti kelab, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar dan beberapa individu yang difahamkan merupakan potensi penaja Kedah pada musim baharu nanti.
Usaha yang ditunjukkan oleh barisan pengurusan dan individu seperti Irshad jelas membuktikan bahawa Kedah Darul Aman FC tidak pernah mengalah walaupun menghadapi ujian berat sebelum ini.
Penyertaan dalam Liga A1 kini dilihat bukan sekadar satu transisi, tetapi peluang untuk membina kembali kekuatan dan menarik lebih ramai pihak untuk bersama dalam perjalanan Hijau Kuning. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram