
SABAN tahun saingan Liga Super akan menjadi tumpuan pengikut bola sepak tempatan dengan setiap penyokong menantikan perubahan bakal ditampilkan pasukan yang bertanding.
Walaupun sudah 11 tahun berturut-turut menyaksikan Johor Darul Ta'zim (JDT) terus menguasai Liga Super, ia bukan alasan untuk penyokong terus menunjukkan kesetiaan mereka terhadap kelab masing-masing.
Namun, bagi sesiapa yang sudah mulai bosan dengan Liga Super, kancah Liga A1 Semi Pro 2025-2026 bakal menjadi pertarungan lebih meriah apabila 16 pasukan mengesahkan penyertaan dalam saingan separuh profesional itu.
BACA LAGI: [VIDEO] Apek teruja bola sepak Kelantan kembali meriah, serahkan masa depan kepada pengurusan Sabah
BACA LAGI: [VIDEO] Jagalah kebajikan, Indra Putra selari hasrat penyokong mahu kebangkitan bola sepak Kelantan
Ia termasuk kehadiran bekas pasukan Liga Super, Kedah Darul Aman (KDA) FC dan kelab dari Korea Selatan, FC Seoul Phoenix dengan pihak penganjur iaitu Liga Bolas Sepak Amatur (AFL) juga sudah mengesahkan perkara berkenaan.
Bukan hanya kemeriahan 16 pasukan, saingan divisyen kedua Liga Malaysia (Liga M) itu juga diwarnai dengan aksi pemain yang pernah mewarnai Liga Super susulan segelintir daripada mereka memutuskan untuk berhijrah ke kelab Liga A1.
Lebih menarik apabila menyaksikan sebahagian pemain yang berhijrah ke kelab Liga A1 itu pernah mencetuskan sensasi sebagai tonggak muda harapan hingga pernah menjadi rebutan beberapa kelab.
1) Muslihuddin Atiq
Muslihuddin Atiq bekas penyerang skuad kebangsaan B-19. — Facebook/TFC
Muslihudin Atiq Mat Zaid pernah meniti di bibir penyokong bola sepak tempatan apabila prospek Terengganu FC (TFC) itu mendapat tawaran menyarung jersi skuad Harimau Selatan pada musim 2022.
Memetik laporan media pada September 2022, bekas pemain skuad kebangsaan Bawah 19 Tahun (B-19) dan pelatih skuad kebangsaan Bawah 23 Tahun (B-23) itu berkongsi sudah menerima tawaran sebanyak tiga kali daripada pasukan Harimau Selatan itu.
Bagaimanapun, pihak JDT tampil menegaskan bahawa tidak mengemukakan sebarang tawaran kepada penyerang muda berkenaan. Tidak bersedih dengan penafian berkenaan, Muslihudin Atiq terus menjadi tonggak muda untuk skuad Sang Penyu.
Pemain berusia 22 tahun berkenaan mendapat peluang beraksi bersama Terengganu pada kempen 2023 sebelum khidmatnya dipanggil semula untuk memperkuatkan skuad simpanan iaitu TFC II pada musim berikutnya.
Selepas beberapa musim bersama Sang Penyu, pemain yang membantu Terengganu merangkul pingat emas dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) edisi ke-20 itu difahamkan bakal diumumkan sebagai pemain baharu Manjung City.
2) Muhaimin Izuddin
Ketika mewakili Kelantan FC pada kempen 2023, nama Muhaimin Izuddin menjadi antara yang pernah dengan pemain sayap berkenaan menjadi tonggak utama bagi memastikan kelab tersebut terus 'bernyawa'.
Kehilangan Kelantan FC dari saingan Liga Malaysia susulan masalah kewangan menyaksikan bakat Muhaimin menjadi rebutan beberapa kelab Liga Super. Penang FC akhirnya menjadi pilihan pemain muda itu.
Bagaimanapun, perpindahannya ke Harimau Kumbang tidak memberi pulangan lumayan apabila Muhaimin hanya merekodkan dua penampilan bersama skuad Penang FC dengan hanya satu daripadanya diraih dalam Liga Super.
Selepas itu, pemain berusia 22 tahun berkenaan memilih untuk menyertai Kelantan Darul Naim (KDN) FC dari Penang FC dengan status perpindahan kekal. Bersama Kijang Emas, Muhaimin merekodkan empat penampilan Liga Super.
Walaupun KDN FC masih beraksi dalam saingan Liga Super, anak jati Pasir Mas, Kelantan berkenaan memilih untuk menyarung jersi pendatang baharu Liga A1 iaitu Kelantan Red Warriors FC.
3) Kamil Akmal Abd Halim
Kamil Akmal selepas menandatangani kontrak bersama Kedah FA. — Facebook/KedahFA
Selepas Kedah Darul Aman (KDA) FC tidak lagi bertanding dalam saingan Liga Super, pemain-pemain Sang Kenari rata-ratanya mencari haluan masing-masing untuk meneruskan karier mereka.
Ini termasuklah bek kanan skuad Hijau Kuning, Kamil Akmal Abd Halim yang memilih untuk menyarung jersi kelab Liga A1, Kedah FA iaitu kelab di bawah naungan Persatuan Bola Sepak Kedah.
Individu berusia 24 tahun itu yang boleh berperanan sebagai pemain di posisi tengah dan pertahanan kanan tersebut mempamerkan gaya permainan yang matang dan kebal dalam mengekang asakan serangan lawan.
Memiliki tubuh tegap dan larian pantas, ramai penyokong melihat aksi Kamil Akmal di atas padang saling tidak tumpah seperti Rizal Ghazali yang sebelum ini merupakan bekas tonggak pertahanan Kedah satu ketika dahulu.
Pada kempen 2024/2025, Kamil Akmal diberi kepercayaan untuk tampil dalam 16 perlawanan dengan 12 daripadanya melibatkan perlawanan Liga Super. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram