
KLIP video yang memaparkan gandingan dua legenda bola sepak dunia iaitu Lionel Messi dan Dani Alves ketika mereka di Barcelona kembali tular baru-baru ini, mencetuskan rasa nostalgia dalam kalangan peminat bola sepak.
Dalam video tersebut, kedua-dua pemain itu mempamerkan aksi berpasukan yang padu dan banyak membantu Barcelona mencipta kegemilangan. Keakraban dan kefahaman mereka di atas padang diibaratkan menjadikan mereka duo dicemburui
Menariknya, video itu menyentuh emosi naturalisasi Malaysia iaitu Lee Tuck apabila dia berkongsi semula klip berkenaan sambil menyatakan bahawa aksi tersebut mengingatkannya kepada momen indah ketika bermain untuk Terengganu FC (TFC) di bawah kendalian Nafuzi Zain.
BACA LAGI: Legenda JDT miliki masa depan cerah ikut jejak Lee Tuck, ceburi bidang hartanah
BACA LAGI: [VIDEO] Lee Tuck harumkan nama Malaysia, beraksi dalam Hyrox World Championship
Aksi berkenaan dikatakan seakan-akan mencerminkan gaya permainan yang diterapkan oleh Nafuzi dan bagaimana pengendali kelahiran Kelantan itu menggalakkan permainan berpasukan yang kreatif dan bebas.
"Bagaimana kami pernah beraksi hebat suatu ketika dahulu di Terengganu FC," kapsyennya ketika memuat naik video berkenaan dengan Lee Tuck turut meletakkan nama bekas rakan sepasukannya iaitu Sanjar Shaakhmedov, Tchetche Kipre dan Thierry Chantha Bin.
Sepanjang kendalian Nafuzi Zain di TFC, pasukan itu mula dikenali dengan corak permainan yang menarik dan menyerang. Lee Tuck diberi peranan penting dalam mencorakkan serangan, sekali gus menjadikan Terengganu sebagai pasukan yang digeruni di Liga Super.
Tangkap layar Insta Story yang dimuat naik Lee Tuck.
Terengganu pada musim berkenaan berada di kedudukan keempat Liga Super, mara ke pusingan separuh akhir Piala Malaysia. Malah, mereka juga berhasil menewaskan Johor Darul Ta'zim pada aksi Liga Super 2021.
Lee Tuck sebelum ini merupakan watak utama bagi jentera serangan Terengganu sepanjang tiga musim (2018-2020) dan telah menyumbang lebih 20 jaringan sepanjang tempoh tersebut. Musim 2021, dia kembali sebagai pemain pinjaman pada musim 2022.
Selain TFC, pemain kelahiran Halifax, England berkenaan pernah menyarung jersi Negeri Sembilan FC, Sri Pahang FC dan KDA FC sebagai kelab terakhirnya dalam saingan Liga Malaysia.
Tidak sampai semusim bersama Kedah, pemain itu telah menamatkan kontraknya dan pulang ke United Kingdom (UK) dengan Lee Tuck seolah-olah sudah jauh daripada bola sepak. Sejak meninggalkan KDA dan pulang ke UK, dia tidak mewakili mana-mana pasukan di sana. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram