
KEPUTUSAN pemain naturalisasi negara, Lee Tuck untuk kembali ke England tidak lama selepas mendapat kerakyatan menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan.
Ini kerana mereka beranggapan pemain tersebut tidak menghargai pengurniaan berkenaan sehingga sanggup berkelana pulang ke Eropah untuk meneruskan kehidupan bersama keluarga.
Bagaimanapun, apa yang mungkin ramai tidak menyedari adalah keputusan Lee Tuck untuk pulang ke negara kelahirannya membawa rahmat kerana ia berjaya mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.
BACA LAGI: [VIDEO] Lee Tuck harumkan nama Malaysia, beraksi dalam Hyrox World Championship
BACA LAGI: Penyokong ajak Lee Tuck wakil Olimpik Malaysia, bakal pemain naturalisasi negara tumpang gembira
Lee Tuck (atas, dua dari kiri) menjuarai Kejohanan Hyrox tahun lalu.
Ini selepas bekas pemain Harimau Malaya berkenaan muncul juara dalam Kejohanan Asian Hyrox yang berlangsung di Singapura pada Ahad lalu yang menyaksikannya mengekalkan gelaran diperolehi tahun lalu.
Kejayaan tersebut dikongsikan di laman Instagram peribadinya memaparkan Lee Tuck hanya memerlukan masa 57 minit 37 saat untuk melepasi halangan fizikal yang menguji stamina dan keupayaan seseorang.
"Pingat emas berturut-turut dalam Kejohanan Hyrox Asian. Perlumbaan, cabaran dan negara berbeza, tetapi mentaliti yang sama iaitu memberi aksi terbaik dan menunjukkan segala-galanya.
"Terima kasih kepada semua yang memberi dorongan, termasuk rakan, keluarga, pihak penaja dan sesiapa sahaja yang membuat sumbangan untuk menjayakan perlumbaan ini," katanya.
Lee Tuck melengkapkan podium bagi Ketagori Lelaki Terbuka dalam kelompok usia 35 ke 39 tahun dengan peserta Korea Selatan, Hong Beom-sok di tangga kedua sementara Modi Simon dari United Kingdom di kedudukan ketiga.
Kejayaan itu turut menyaksikan Jalur Gemilang berkibar di Singapura dengan orang ramai mula menyedari kebolehan bekas pemain yang dikenali dengan tahap stamina cukup baik setiap kali berada di atas padang.
Sebelum menceburi dunia sukan fizikal, pemain tersebut terlebih dahulu mewarnai arena bola sepak tempatan bermula dengan Negeri Sembilan sebelum menamatkan karier bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC.
Pada Julai 2023, dia secara tiba-tiba meninggalkan kelab Utara tanah air itu dengan khabar angin pada awalnya menceritakan pemain tengah tersebut akan menyertai pasukan Thailand.
Namun, Lee Tuck memilih untuk pulang ke England bersama keluarga untuk membuka perniagaan hartanah sambil menyertai pertandingan kecergasan dengan segala perkembangan dikongsikan di media sosial peribadinya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram