Rahmat buat Nafuzi, 3 bintang B-23 termasuk Ubaidullah ada pengalaman bersama Harimau Malaya


  • Podium
  • Selasa, 15 Jul 2025

Penyertaan dalam Piala Mandiri atau Piala AFF B-23 adalah persiapan terbaik bagi kempen Kelayakan Piala Asia B-23. — Facebook/Malaysia NT

KETUA jurulatih skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan, Nafuzi Zain kini sibuk mempersiapkan pasukan dalam usaha meraih keputusan terbaik dalam kempen Kelayakan Piala Asia B-23 bermula September depan.

Antara rencana diambil bagi memantapkan anak-anak buahnya adalah dengan memasang misi besar dalam Piala AFF B-23 atau turut dikenali sebagai Piala Mandiri yang bakal berlangsung di Indonesia bermula Selasa.

Namun, meskipun sudah mengadakan beberapa siri sesi latihan, Harimau Muda masih berdepan cabaran hebat dalam pertandingan tersebut kerana diletak dalam kumpulan yang mengandungi Brunei, Filipina serta tuan rumah.

BACA LAGI: Piala AFF, Kelayakan Piala Asia sama getir, Nafuzi perlu kenal pasti kekuatan, kelemahan Harimau Muda

BACA LAGI: [VIDEO] Misi pertama penuh liku, Nafuzi persiap anak buah demi cabaran ke Piala Asia B-23

Meskipun sasaran hebat tidak diletakkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Nafuzi masih perlu membuktikan kebolehan sebenarnya dalam ujian pertama bersama skuad B-23 kebangsaan selepas dilantik hujung tahun lalu.

Jadi, tidak hairanlah apabila bekas pengendali Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Terengganu FC itu memanggil pasukan terbaik bagi Piala Mandiri dengan harapan eksperimen bakal dilakukan mampu membuahkan hasil terbaik.

Nafuzi juga sudah tentu dapat menarik nafas lega kerana barisan pemain dipanggilnya memiliki lambakan bintang berpengalaman, termasuk tiga daripadanya pernah beraksi bersama pasukan senior.

1. Haqimi Azim Rosli

Kira-kira tiga tahun lalu, fenomena besar dirasai peminat bola sepak tempatan apabila nama penyerang muda, Haqimi Azim Rosli meniti bibir orang ramai selepas permainan konsisten ditampilkan buat Kuala Lumpur (KL) City FC.

Kebolehan ditonjolkan di peringkat kelab membuka mata orang ramai, termasuk bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon yang memberinya kaps antarabangsa pertama ketika Piala AFF 2022.

Fizikalnya yang mengagumkan selain kepantasan ditonjolkan membuatkan rata-rata peminat mengharapkan pemain tersebut dapat meneruskan legasi penyerang tempatan berkualiti seperti Safee Sali dan Nizaruddin Yusof.

Tunjuk ajar Nafuzi sudah tentu diharapkan mampu membawa perubahan kepada Haqimi. Facebook/Malaysia NT

Namun, kebelakangan ini, potensi pernah ditonjolkan Haqimi mula pudar, baik bersama KL City FC mahupun di pentas antarabangsa apabila persembahannya kerap kali mengecewakan.

Prestasi kurang memuaskan itu bagaimanapun tidak menghalang Nafuzi daripada memberi peluang buatnya dalam skuad B-23 negara bagi Piala Mandiri, lebih-lebih lagi pengalaman luasnya diharapkan mampu membawa perbezaan.

Sekiranya pengendali muda tersebut dapat menyuntik keyakinan kepada Haqimi, tidak mustahil sekiranya penyerang Warga Kota tersebut dapat kembali ke tahap terbaiknya seperti mana pernah disaksikan dahulu.

2. Fergus Tierney

Nama penyerang berdarah campuran, Fergus Tierney tidak lagi asing dalam arena bola sepak tempatan kerana ramai teruja menyaksikan pemain itu menyerlah di peringkat senior.

Ini kerana peledak kelahiran Scotland itu sudah menghabiskan tempoh cukup lama dalam pasukan simpanan Johor Darul Ta'zim (JDT) selain sudah dua kali dipinjamkan ke kelab Thailand sepanjang kariernya.

Penantian itu akhirnya tamat selepas dia diberikan peluang menyarung jersi Harimau Malaya buat pertama kali ketika saingan Piala AFF 2024 dengan satu gol berjaya dijaringkan di peringkat kumpulan.

Harapan besar diletakkan untuk menyaksikan Fergus terus sukses bersama skuad kebangsaan. Facebook/Malaysia NT

Potensi ditonjolkan sepanjang kejohanan tersebut membuka mata Nafuzi untuk memberikannya peluang, namun kali ini bersama pasukan muda dengan harapan bakatnya dapat terus digilap.

Sekiranya Fergus dapat menjadi nadi utama dalam Piala Mandiri akan datang, tidak mustahil sekiranya reputasinya akan terus berkembang, lebih-lebih lagi selepas dipinjamkan ke Sabah FC bagi saingan 2025/26.

Gandingannya bersama Haqimi yang juga berpengalaman bersama pasukan senior diharapkan mampu mencipta kenangan indah buat Harimau Muda yang mahu merangkul kejuaraan di bumi Indonesia.

3. Ubaidullah Shamsul Fazili

Karier bek serba boleh Terengganu FC, Ubaidullah Shamsul Fazili kelihatan berada dalam landasan tepat apabila perkembangannya daripada skuad muda ke pasukan senior cukup lancar.

Selepas bersinar dalam membantu skuad muda Sang Penyu menjuarai Piala MFL 2023, dia segera menjadi tonggak utama pasukannya musim lalu dengan 36 kali dia diturunkan sepanjang kempen.

Prestasi memberangsangkan itu menyaksikan pemain berkenaan diberi penampilan pertama bersama Harimau Malaya apabila Peter Cklamovski menurunkannya dalam aksi persahabatan menentang Cape Verde pada Mei lalu.

Ubaidullah sudah mencatatkan penampilan sulung bersama skuad senior negara. Facebook/Malaysia NT

Meskipun dibolosi dalam perlawanan di Stadium Cheras, KL itu, Ubaidullah menampilkan persembahan cukup bersemangat dalam mematahkan serangan lawan tanpa melakukan tindakan merugikan.

Satu penampilannya itu sudah cukup untuk Nafuzi sekali lagi meletakkannya sebagai antara nadi utama skuad B-23 dalam Piala Mandiri dengan terdapat perbincangan untuknya memikul peranan kapten pasukan.

Tetapi, sekiranya barisan kejurulatihan memiliki perancangan lain, karakter ditonjolkan pemain terbabit dijangka memainkan peranan penting buat Harimau Muda dalam pertandingan itu. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram