
ISU pengurusan dan kewangan dialami Perak FC sepanjang musim lalu menoktahkan perjalanan mereka dalam arena bola sepak tanah air selepas kelab tersebut gagal memperoleh lesen untuk beraksi dalam mana-mana pertandingan bagi kempen akan datang.
Meskipun Perak FA yang berada di bawah pengurusan kerajaan negeri akan beraksi dalam Liga A1 Semi Pro, identiti berbeza bakal ditampilkan kerana pasukan itu lebih memfokuskan pembangunan 'ubi muda'.
Jadi, dengan skuad The Bos Gaurus (TBG) hilang dari radar, hampir kesemua pemain utama memilih untuk mencari kelab baharu pada jendela perpindahan kali ini demi karier masing-masing.
BACA LAGI: Hampir lengkap, 3 tonggak Perak FC termasuk Wan Zack selangkah sarung jersi Harimau Kumbang
BACA LAGI: Pilih Penang FC, ikut jejak Safawi antara 3 destinasi relevan andai Wan Zack tinggalkan Perak
Wan Zack sudah terlibat dalam aksi pramusim buat skuad Harimau Kumbang ketika ini. — Facebook/Penang FC
Antara tonggak terawal meninggalkan kelab Utara tanah air berkenaan merupakan penyerang sayap, Wan Zack Haikal Wan Noor yang memilih Penang FC sebagai destinasi terbarunya.
Bekas pemain negara itu beraksi buat Perak FC selama tiga musim, bermula ketika mereka beraksi dalam Liga Perdana 2022 dengan keputusan menyertai kelab terbabit menimbulkan persoalan.
Ini kerana Wan Zack dilihat masih memiliki standard dalam divisyen teratas bola sepak tanah air meskipun beberapa kali mengalami kecederaan serius dalam kariernya.
Bagaimanapun, dengan tiada sebarang tawaran diterima, Wan Zack memilih untuk menyarung jersi skuad TBG dengan tempohnya bersama pasukan itu hanya berakhir berikutan kegagalan menyertai mana-mana saingan musim depan.
Tetapi, meskipun kini sudah berada bersama kelab lebih stabil, pemain berusia 34 tahun tersebut seperti terus merindui momen dihabiskan di Perak FC seperti mana dikongsikan di laman TikTok peribadinya.
"Assalamualaikum, jujur saya rindu abang-abang dan sahabat saya di Ipoh. Semakin bertambah rasa kasih dan cinta persahabatan saya kepada anda semua walaupun sekarang kita berada di lain tempat.
"Kalian semua sangat baik dan sentiasa dalam fikiran saya, cuma jarang kita berhubung. Terima kasih hadir dalam cerita saya dan saya sayang kalian semua," tulisnya.
Sepanjang tiga musim bersama skuad TBG, Wan Zack memainkan peranan penting, terutamanya menjadi figura berpengaruh buat pemain muda dalam pasukan yang berusaha keras untuk membangun.
Dia yang tidak putus memberi aksi terbaik buat kelab tersebut juga pernah diberi peranan sebagai kapten memandangkan pengalaman dimilikinya cukup berharga buat barisan kejurulatihan.
Bekas pemain FC Ryukyu itu sudah diturunkan dalam beberapa siri perlawanan persahabatan buat skuad Harimau Kumbang ketika ini dengan kehadirannya diharap mampu memperbaiki prestasi pasukan musim depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram