[VIDEO] Misi pertama penuh liku, Nafuzi persiap anak buah demi cabaran ke Piala Asia B-23


  • Podium
  • Khamis, 29 Mei 2025

Nafuzi akan memastikan anak-anak buahnya bersedia untuk berentap dalam kempen kelayakan yang bakal bermula pada September depan.

CABARAN berliku menanti skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara dalam aksi Kelayakan Piala Asia B-23 selepas diundi dalam Kumpulan F yang turut dibarisi Mongolia, Lubnan dan negara jiran, Thailand.

Kesemua lawan yang bakal menanti pasukan muda negara itu sudah tentu akan memberi cabaran besar kerana masing-masing mahu menamatkan saingan di tangga teratas untuk meraih tiket automatik ke kejohanan berkenaan.

Jadi, ia akan menyajikan ujian getir buat pengendali Harimau Muda, Nafuzi Zain yang mengakui kesemua pasukan bakal dihadapi akan menjanjikan pertembungan sengit dengan persiapan terbaik perlu dilakukan untuk meningkatkan peluang anak-anak buahnya.

BACA LAGI: Diundi bertemu Thailand, 'gameplay' Nafuzi jadi sandaran bawa Malaysia ke Piala Asia B-23

BACA LAGI: Legenda Terengganu beri 7 sebab Hai-O pembantu ideal, gandingan terbaik Nafuzi dalam skuad B-23

Keputusan penuh undian Kelayakan Piala Asia B-23 yang menyaksikan Malaysia berada dalam Kumpulan F.

"Saya berasakan ia merupakan kumpulan yang cukup kuat. Saya rasa ia bukan tugas mudah sebagai jurulatih, tetapi apa-apa sekali pun, kita akan berikan yang terbaik demi melayakkan diri ke peringkat seterusnya.

"Seperti mana kita tahu, Thailand adalah pasukan yang baik sementara Lubnan juga akan memberi kesukaran buat kita. Bagi Mongolia pula, mereka akan memberi saingan. Jadi, apa yang penting adalah untuk kita persiapkan diri kerana ini adalah tugas berat," katanya kepada SNE Sports.

Kempen Kelayakan Piala Asia B-23 merupakan ujian pertama buat Nafuzi yang sebelum ini menyertai barisan kejurulatihan Harimau Muda pada Disember tahun lalu selepas bakatnya dikesan bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Terengganu FC.

Selain gemar menerapkan gaya permainan menyerang, pengendali kelahiran Kelantan itu dipilih mengendalikan pasukan berkenaan kerana dia kerap menggilap bakat 'ubi muda' sepanjang karier kejurulatihannya.

Pelantikannya itu diharapkan dapat membantu skuad B-23 untuk memberi tentangan lebih hebat selepas bertahun-tahun mereka bergelut untuk meninggalkan impak dalam setiap kejohanan disertai.

Dalam pada itu, jurulatih berusia 46 tahun tersebut percaya persiapan lebih rapi perlu dilakukan kerana kesemua pihak lawan dalam Kumpulan F akan memastikan mereka berada dalam tahap optimum.

"Kita tahu Thailand merupakan pasukan yang begitu bagus dan keputusan mereka dalam kejohanan terdahulu adalah lebih baik berbanding Malaysia. Ini adalah satu cabaran untuk saya persiapkan pasukan.

"Kita yakin persiapan mereka cukup baik dan saya tahu apa perlu dibuat. Saya akan pastikan kita akan bekerja keras bagi persiapan negara ke kempen kelayakan itu nanti," katanya lagi.

Berdasarkan format semasa, kesemua perlawanan Kumpulan F bakal berlangsung di Pathum Thani, Thailand pada September depan dengan skuad B-23 akan memulakan kempen berdepan Lubnan terlebih dahulu.

Anak-anak buah Nafuzi Zain perlu menamatkan saingan di kedudukan teratas memandangkan hanya empat naib juara kumpulan berpeluang berentap dalam Piala Asia B-23 yang akan berlangsung tahun depan di Arab Saudi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram