Teruskan legasi ‘abang-abang’, skuad B-12 JDT kecewakan Selangor di final Kejohanan Belia LaLiga


  • Podium
  • Ahad, 13 Jul 2025

Skuad B-12 Harimau Selatan menambah koleksi kejuaraan selepas menjuarai Kejohanan Belia LaLiga.

DOMINASI Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam arena sukan negara tidak perlu diceritakan lagi kerana kelab tersebut berjaya mempamerkan keunggulan dalam dunia bola sepak dan futsal tempatan.

Tetapi, meskipun terus sukses di mata peminat, pasukan tersebut tidak pernah melupakan program pembangunan apabila mereka terus menghantar skuad muda ke mana-mana pertandingan berkaitan.

Ini termasuk Kejohanan Belia LaLiga 2025 yang menyaksikan penyertaan pasukan Bawah 12 Tahun (B-12) sekitar negara dalam aksi di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada Sabtu.

BACA LAGI: Kecoh di Sepanyol, JDT adakan friendly dengan kelab elit LaLiga tak lama lagi

BACA LAGI: Tak pilih JDT, 3 ex LaLiga sebaliknya sertai kelab Pantai Timur, Selangor dan Sabah

Skuad muda Harimau Selatan mengecewakan Pusat Pembangunan Bola Sepak Selangor dalam perlawanan akhir. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Pencapaian mengagumkan sekali lagi dicatatkan selepas skuad muda Harimau Selatan menjuarai pertandingan berkenaan menerusi kemenangan ke atas Pusat Pembangunan Bola Sepak Selangor dalam perlawanan akhir.

Langkah pasukan Selatan tanah air itu ke pentas akhir dimulakan dengan keputusan bergaya di peringkat kumpulan dengan 10 mata dikutip daripada empat perlawanan.

Kemudian, di pusingan kalah mati, pasukan tersebut turut mencatatkan tiga kemenangan besar, bermula dengan kejayaan menundukkan Fietza FC di pentas suku akhir sebelum menyingkirkan Muangthong United di separuh akhir.

Dalam perlawanan akhir pula, JDT B-12 sekali lagi mencatatkan kemenangan, iaitu ke atas Selangor menerusi keputusan 2-1 untuk memastikan kejuaraan milik mereka.

Lebih membanggakan lagi, skuad muda Harimau Selatan juga membawa pulang Anugerah Pemain Terbaik selepas tonggak pasukan, Rifqi Anaqi Yunazry dipilih mengungguli anugerah berkenaan.

Rifqi (kanan) diangkat sebagai pemain terbaik bagi kejohanan yang berlangsung di UPM. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Kejayaan tersebut menyaksikan pasukan tersebut mempertahankan gelaran yang turut dimenangi bagi kategori tersebut tahun lalu, sekali gus menceritakan legasi berterusan terus dicatatkan skuad muda berkenaan.

Sebelum mengunggli Kejohanan Belia LaLiga 2025, skuad B-12 JDT turut menjuarai beberapa pertandingan peringkat antarabangsa lain, termasuk Piala Antarabangsa Garuda III 2023.

Ini membuktikan usaha sebenar kelab Selatan tanah air berkenaan dalam menyemai bakat tempatan memandangkan setiap pendedahan diberikan merupakan sumber motivasi utama buat mereka.

Sejak diperkenalkan pada 2015, Akademi JDT tidak pernah putus daripada menggilap bakat muda dengan harapan setiap graduan dapat diserap ke mana-mana pasukan senior tanah air.

Meskipun usaha tersebut masih belum menampakkan hasil sebenar, usaha kelab Selatan tanah air tersebut perlu dijadi panduan bagi kelab tanah air yang bercita-cita menggilap bakat tempatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram