'Awak bukan replika ayah', bekas bek JDT kongsi mesej beremosi saksikan anak debut kebangsaan


  • Podium
  • Sabtu, 12 Jul 2025

Mika membantu pasukan B-16 Singapura mencatat kemenangan besar menewaskan Kemboja 3-0. — Facebook/Baihakki

BEKAS tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT) dan legenda bola sepak Singapura, Baihakki Khaizan menyentuh hati peminat bola sepak apabila berkongsi luahan emosi selepas anaknya, Mika Bazil Baihakki melakukan penampilan sulung bersama skuad kebangsaan Bawah 16 (B-16) tahun Singapura.

Mika membantu pasukan B-16 Singapura mencatat kemenangan besar menewaskan Kemboja 3-0 dalam perlawanan Lion City Cup dalam aksi yang berlangsung di Stadium Jalan Besar, Singapura pada Jumaat. 

Menerusi satu hantaran penuh bermakna di media sosial, Baihakki memuji prestasi cemerlang Mika yang beraksi selama 90 minit dan berjaya membantu pasukan mengekalkan rekod tanpa bolos dalam perlawanan antarabangsa yang berlangsung malam sebelumnya.

BACA LAGI: Kongsi foto bersama TMJ, bekas defend JDT kembali terajui Harimau Selatan, bergandingan bersama Aidil Zafuan?

BACA LAGI: Dari Lembah Klang ke Borneo, kredibiliti, bintang 3 kelab jadi pencabar terkuat JDT musim depan

“Memakai jersi negara adalah satu perasaan yang tiada tandingan sama ada anda baru bermula atau sudah bertahun dalam permainan ini.

“Tahniah Mika atas debut malam tadi (Jumaat). 90 minit. Clean sheet. Tenang. Awak buat Singapura bangga,” katanya menerusi hantaran yang dimuat naik pada Sabtu itu.

Namun, apa yang lebih menyentuh hati bekas pertahanan Harimau Selatan berkenaan adalah mesej peribadi daripada anak itu selepas tamat perlawanan. 

Berkongsi tangkap layar mesej daripada Mika, Baihakki menyifatkan ia sesuatu yang menurutnya sangat bermakna kerana menunjukkan betapa pemain itu menjadi sebahagian daripada perjalanan anaknya.

“Apa yang paling bermakna adalah mesej awak selepas perlawanan. Untuk tahu bahawa saya memainkan peranan kecil dalam perjalanan awak… itu adalah segalanya buat saya.

“Perjalanan selepas ini tidak akan sentiasa lancar. Akan ada pujian, dan akan ada kritikan. Terima kedua-duanya, tetapi jangan biarkan mana-mana daripadanya mendefinisikan siapa awak.

“Terus fokus, terus berpijak di bumi nyata dengan al-Quran dan doa, dan terus kejar perkembangan setiap hari,” kata bekas pemain yang berusia 41 tahun terbabit.

Baihakki mengakhiri mesejnya dengan kata-kata paling menyentuh hati, menegaskan bahawa Mika bukanlah bayangan dirinya tetapi individu yang berdiri atas nama dan keupayaannya sendiri.

“Awak bukan replika ayah. Awak adalah Mika Bazil yang asli, dan awak sudah pun lebih baik daripada saya. Teruskan langkah ke depan,” pesannya.

Perkongsian itu menerima reaksi hangat daripada peminat dan penggiat bola sepak serantau yang tersentuh dengan ikatan erat antara ayah dan anak  bukan hanya sebagai warisan bola sepak berkenaan.

Untuk rekord, Baihakki bukanlah satu nama yang asing dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) apabila dia pernah beraksi bersama pasukan Harimau Selatan bermula tahun 2014 sehingga 2015.

Namun begitu, Baihakki yang juga pemain berpengalaman skuad kebangsaan Singapura itu mengambil keputusan untuk bersara dari dunia bola sepak profesional pada tahun 2022. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram