
AKSI hangat antara Johor Tigris dan Negeri Sembilan Antlers dalam saingan Liga Sepak Takraw Malaysia (STL) menyaksikan Johor tampil lebih garang apabila mencatat kemenangan 2-1 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Namun di sebalik perlawanan menarik itu turut dicemari insiden kontroversi yang membabitkan mutu pengadilan.
Regu Johor Tigris yang dibarisi Syahmi selaku perejam, Siwatbancha sebagai tekong, dan Farhan di posisi feeder mempamerkan permainan bertenaga untuk menundukkan regu Antlers yang diketuai oleh Zulefendi (feeder), Haziq (tekong), dan Hafizul (perejam).
BACA LAGI : Dari Lembah Klang ke Borneo, kredibiliti, bintang 3 kelab jadi pencabar terkuat JDT musim depan
BACA LAGI : Pentingnya AED, pilu hati lihat 4 bintang bola sepak termasuk Firos, meninggal dunia ketika beraksi
Walaupun regu dari selatan tanah air itu berjaya mengesahkan kemenangan, perlawanan menjadi panas pada pertengahan set kedua apabila berlaku beberapa keputusan pengadil yang menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kem Johor.
Ketegangan memuncak apabila jurulatih Johor Tigris, Najib Iman, dilihat memasuki gelanggang dan menegur secara langsung keputusan pegawai perlawanan pada penghujung set berkenaan.
Insiden tersebut memaksa pegawai teknikal campur tangan bagi menenangkan keadaan, sebelum permainan disambung semula dalam suasana tegang.
Kemenangan itu meletakkan Johor Tigris dalam kedudukan lebih selesa dalam carta liga, namun insiden pengadilan bakal mengundang perhatian pihak penganjur untuk menilai semula aspek kepengadilan demi menjaga integriti pertandingan.
Rata-rata meluahkan rasa kecewa terhadap mutu pengadilan yang dianggap tidak konsisten, malah ada yang menggesa agar tindakan lebih tegas diambil.
Seorang penyokong, Mohd Hisham menzahirkan pandangan bahawa individu yang gagal berlaku adil sewajarnya tidak lagi memegang peranan sebagai pengadil.
"Jika perkara atau isu seperti ini sentiasa berterusan, ia hanya akan merosakkan sepak takraw.
"Saya pun sebenarnya sudah bosan,meluat dan menyampah dengan kerenah manusia, khususnya 'mereka' yang berkuasa dalam sukan sepak takraw ini.
"Namun sukan sepak takraw ini tetap menjadi kecintaan saya, sejak saya kecil sehingga ke hari ini," tulisnya.
Lebih menarik, seorang penyokong bernama Naser Ahmad mencadangkan agar STL mempertimbangkan penggunaan pengadil import sekiranya mutu pengadilan tempatan tidak menunjukkan peningkatan.
"Itulah saya cakap group STL, kalau pemain boleh pakai import, kenapa pengadil tak boleh? Bosan tengok keputusan pengadil Malaysia.
"Kadang kita sendiri pun tak tahu dari mana silapnya boleh batal," tulisnya.
Kemarahan ini bukan pertama kali berlaku. Isu pengadilan dalam STL telah beberapa kali dibangkitkan oleh pemain, jurulatih, dan peminat sebelum ini.
Namun tanpa penambahbaikan yang nyata, kekecewaan dijangka terus membarah dan menjejaskan reputasi liga yang sepatutnya menjadi pentas pembangunan sukan tradisi negara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram