
DALAM usaha memperkuatkan lagi pasukan dalam kempen Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite, Johor Darul Ta'zim (JDT) tampil membawa masuk tiga pemain yang sebelum ini berstatus ejen bebas.
Menariknya, semua yang disambar skuad Harimau Selatan, iaitu Roque Mesa, Alvaro Gonzalez serta Jonathan Viera merupakan pemain pernah beraksi dalam divisyen teratas di Sepanyol iaitu LaLiga.
Namun, pendekatan sedemikian bukanlah sesuatu yang baharu kerana dalam beberapa musim kebelakangan ini, pasukan Selatan tanah air itu dibarisi pemain dengan pengalaman sama.
BACA LAGI: JDT mampu pergi jauh di ACLE andai pemain tepat jadi taruhan — Legenda Selangor
BACA LAGI: [VIDEO] Hasrat tengok 3 bintang baharu, fasiliti CCM curi tumpuan fans JDT sebelum beradu tenaga
Roque Mesa yang merupakan rekrut baharu JDT pernah beraksi di LaLiga buat Las Palmas.
Keberadaan bintang dari LaLiga itu membuatkan peminat bola sepak tanah air beranggapan JDT menggunakan 'DNA LaLiga' setiap kali mahu membawa masuk import baharu.
Tetapi, sepanjang sejarah keberadaan kelab terbabit, masih terdapat pemain yang pernah beraksi di Sepanyol namun memilih untuk tidak menyertai jaguh Liga Super berkenaan.
Meskipun hal itu bukanlah satu hal kebiasaan, tiga pemain berkenaan berada dalam senarai yang mempunyai penampilan dalam LaLiga tetapi memilih pasukan tempatan yang lain.
1. Richmond Boakye (Selangor FC)
Pada jendela perpindahan kedua musim 2023, Selangor FC bertindak membawa masuk import dari Ghana, Richmond Boakye dalam usaha memperkuatkan barisan hadapan pasukan.
Keputusan itu pada awalnya menerima respons baik daripada penyokong kelab Lembah Klang tersebut kerana pemain itu pernah beraksi di Eropah buat beberapa kelab, termasuk untuk Red Star Belgrade di Serbia.
Bagaimanapun, kehadirannya lebih mencuri tumpuan kerana peminat mendapati penyerang tersebut pernah beraksi di LaLiga buat Elche secara pinjaman selama semusim pada 2014.
Boakye pernah menjaringkan gol dalam LaLiga ketika beraksi buat Elche CF. — Agensi
Lebih menarik lagi, ketika beraksi buat pasukan di Utara Sepanyol itu, Boakye pernah menjaringkan gol ketika berdepan Real Madrid yang ketika itu dibarisi beberapa bintang ternama seperti Cristiano Ronaldo dan Sergio Ramos.
Tumpuan itu bagaimanapun gagal diterjemahkan di atas padang kerana sepanjang beraksi dalam Liga Super, pemain terbabit jelas bergelut untuk memberi aksi terbaik.
Untuk rekod, sepanjang separuh musim di Lembah Klang, Boakye sempat menjaringkan enam gol dalam 11 penampilan, termasuk satu jaringan hatrik ketika berdepan Kelantan FC.
2. Cifu (Kelantan FC, Sabah FC)
Meskipun skuad The Red Warriors (TRW) berdepan nasib memilukan sepanjang musim lalu, mereka masih boleh tersenyum kerana berpeluang menyaksikan import dari Sepanyol, Miguel Cifuentes.
Pemain yang ketika dibawa masuk pada usia 33 tahun itu sememangnya mencuri perhatian ramai kerana pernah beraksi buat beberapa kelab di Sepanyol, termasuk dalam divisyen pertama buat Malaga dan Elche CF.
Keterujaan mengenai kehadirannya terbalas kerana sepanjang berada di atas padang, pemain tersebut memberikan aksi terbaik tanpa mengira apa jua posisi yang diletakkannya.
Cifu pernah beraksi dalam LaLiga bersama Malaga dan Elche. — Agensi
Bagaimanapun, disebabkan masalah pengurusan pasukan semakin kronik, Cifu akhirnya meninggalkan kelab Pantai Timur berkenaan pada pertengahan musim dan menyertai Sabah FC.
Persembahan memberangsangkan itu berjaya diteruskan pemain berkenaan sehingga hari ini apabila dia terus menjadi nadi utama skuad Sang Badak yang melangkah dengan bergaya ke pusingan separuh akhir Piala Malaysia.
Usianya yang semakin lanjut juga bukanlah alasan baginya untuk tidak memberikan aksi terbaik setiap kali diturunkan kerana dia sudah mencatatkan 15 penampilan secara keseluruhan dalam Liga Malaysia.
3. Mario Arques (Kelantan FC, PDRM FC)
Selain Cifu, Kelantan FC turut bertindak membawa masuk seorang lagi import dari Sepanyol pada jendela perpindahan pertama 2023, iaitu Mario Arques yang beraksi cemerlang di posisi tengah.
Sama seperti rakan senegaranya itu, Arques mempunyai pengalaman luas di negara Eropah terbabit kerana bertahun-tahun beraksi di situ, termasuk dalam LaLiga buat Elche CF pada musim 2014/15.
Mario Arques kekal separuh musim dalam skuad TRW. — Facebook/TRW Kelantan FC
Namun, pengalaman itu tidak cukup untuk membawa kelainan dalam skuad TRW memandangkan rakan sepasukannya tidaklah begitu berkualiti selain mereka mengalami isu tunggakan gaji selama berbulan-bulan lamanya.
Kecewa akan nasib dialami, Aruqes kemudian bertindak meninggalkan kelab tersebut dan menyertai PDRM FC yang menyaksikan pasukan tersebut berjaya muncul juara MFL Challenge Cup.
Bagaimanapun, ketika ini, pemain berusia 33 tahun itu difahamkan tidak terikat dengan mana-mana pasukan selepas tiada kelab Liga Super berminat akan khidmatnya sepanjang dua jendela perpindahan kali ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram