
SEBUT sahaja Terengganu FC (TFC), sudah pasti ramai penyokong bola sepak tempatan mengenali pasukan itu sebagai antara pencetus utama kelahiran bakat muda berkualiti dalam kancah Liga Malaysia (Liga M).
Bersandarkan reputasi sebagai lubuk pencungkil bakat, Sang Penyu terus tampil konsisten dengan 'squad depth' yang mengagumkan, hasil daripada proses naik pangkat pemain muda dari Terengganu FC II ke pasukan utama. Antara yang mencuri perhatian musim ini ialah pertahanan muda, Ubaidullah Shamsul Fazili.
Ubaidullah atau lebih mesra dikenali sebagai Ubai, mempamerkan aksi cemerlang bersama skuad Bawah 23 Tahun dalam saingan MFL, sekali gus membuka mata pihak pengurusan pasukan utama.
BACA LAGI: Bukan saja JDT-Selangor, Sabah FC, Jang Hobin antara ‘sparring’ berkualiti kelab luar
BACA LAGI: Mula tunjuk belang, import Terengganu antara 3 rekrut sudah ledak gol pertama
Ubaidullah kini menjadi pilihan utama TFC sebagai kesebelasan utama pasukan. — Facebook/TFC
Rentetan daripada prestasi konsisten itu, Ubai kini semakin kerap diberi kepercayaan mengemudi benteng pertahanan TFC.
Sejak era kendalian bekas jurulatih seperti Nafuzi Zain dan Tomislav Steinbruckner, sehinggalah ke tangan ketua jurulatih semasa, Badrul Afzan Razali, TFC tidak pernah ketandusan pemain muda berbakat yang mampu menyinar di pentas Liga Super.
Tidak hairanlah skuad Peteh kekal dikenali sebagai ‘kilang pengeluar ubi muda’ dalam bola sepak tempatan, sebuah gelaran yang semakin utuh dengan kemunculan Ubai serta beberapa pemain muda lain yang kini bersedia mencabar tempat pemain senior dalam skuad utama.
Malah, difahamkan tiga lagi rekrut sedang bersaing rapat dan berpotensi besar untuk merebut posisi dalam kesebelasan utama Sang Penyu, sekali gus memperkukuh lagi cabaran TFC dalam saingan Liga Super musim ini.
1. Akram Mahinan
Pemain tengah berpengalaman TFC, Akram Mahinan kini dilihat semakin tenggelam dalam prestasi, sekali gus mencetuskan desakan agar ruang diberikan kepada pemain muda untuk mengambil alih peranan penting di bahagian tengah pasukan.
Faktor usia yang semakin meningkat dikatakan menjadi antara punca utama prestasi Akram, 32, tidak lagi berada pada tahap terbaik, sekali gus membuka peluang kepada pemain generasi baharu untuk mengisi kekosongan tersebut.
Antara nama yang kini menjadi sebutan dalam kalangan penyokong ialah pemain muda, Saiful Jamaluddin.
Saiful Jamaluddin antara nama yang kini disebut-sebut mampu menggantikan Akram Mahinan. — Facebook/TFC
Pemain tengah bertahan berusia 23 tahun itu menampilkan prestasi meyakinkan ketika diturunkan dalam kesebelasan utama menentang Penang FC dalam aksi persahabatan pramusim baru-baru ini.
Aksi bertenaga dan disiplin tinggi yang dipamerkan Saiful dalam mengawal jentera tengah pasukan berjaya mencuri perhatian peminat sekali gus menjadikannya calon utama untuk menggantikan posisi Akram dalam perlawanan kompetitif akan datang.
Dengan kecergasan dan ketajaman dimiliki Saiful, ramai menjangkakan masanya sudah tiba untuk pemain muda itu mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Akram demi memperkukuh jentera tengah Sang Penyu dalam saingan Liga Super musim 2025/2026.
2. Nik Sharif Hassefy
Pemain sayap skuad Peteh, Nik Sharif Haseefy kini dilihat perlu berwaspada apabila kehadiran muka baharu, Khala’if Naskam mula mencuri tumpuan dalam skuad Sang Penyu.
Bekas penyerang muda Kelantan FC berusia 23 tahun itu tidak mengambil masa lama untuk menyesuaikan diri, malah terus menunjukkan impak positif dalam aksi pramusim khususnya ketika bertemu Harimau Kumbang baru-baru ini.
Kelincahan dan kelajuan yang ditampilkan Khala’if jelas memukau penyokong, yang sekian lama mendambakan pemain sayap lincah dan bertenaga di bahagian serangan TFC.
Bekas penyerang muda Kelantan FC, Khala'if Naskam (depan) mencetak gol buat Sang Penyu dalam aksi pemanas badan bertemu Penang FC. — Facebook/TFC
Lebih manis, Khala’if turut mencatat nama selaku penjaring dalam perlawanan tersebut apabila meledak satu gol, sekali gus membuktikan ketajamannya di depan gawang lawan.
Dengan prestasi meyakinkan yang dipamerkan, Khala’if dilihat mampu memberi saingan sengit kepada Nik Sharif untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama, menjelang sepak mula Liga Super tidak lama lagi.
3. Alif Zakaria
Walaupun nama Alif Zakaria sudah sinonim dengan posisi pertahanan kiri TFC, kehadiran pemain baharu, Baqiuddin Shamsudin berpotensi mencetuskan persaingan sengit untuk musim akan datang.
Bekas tonggak Sri Pahang FC itu dilihat pantas menyesuaikan diri dalam skuad Sang Penyu dan telah mempamerkan prestasi memberangsangkan sepanjang aksi pramusim, khususnya dalam mengawal kawasan kiri pertahanan.
Bekas tonggak Tok Gajah, Baqiuddin Shamsudin. — Facebook/TFC
Lebih menggusarkan buat Alif, kecederaan ligamen anterior krusiat (ACL) yang dialaminya ketika aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia 2024 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 1 Februari lalu, dijangka memberi laluan buat Baqiuddin untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.
Dengan tahap kecergasan yang semakin pulih serta aksi konsisten daripada Baqiuddin, peluang Alif untuk kembali ke posisi asalnya mungkin tidak semudah sebelum ini, apatah lagi TFC kini menuntut kestabilan di benteng pertahanan bagi menghadapi cabaran Liga Super yang semakin kompetitif. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram